Pendakwaan politik, saya 'berani kerana benar' - Adam Radlan

Pendakwaan politik, saya ‘berani kerana benar’ – Adam Radlan

ADAM Radlan Adam Muhammad (tengah) tiba di mahkamah untuk didakwa lagi atas beberapa pertuduhan kes pengubahan wang haram di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur. -UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Timbalan Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Segambut, Adam Radlan Adam Muhammad yakin keadilan buat dirinya akan ditegakkan dengan menyifatkan dakwaan kes terhadapnya di mahkamah sebagai satu pendakwaan politik.

Berlandaskan prinsip ‘berani kerana benar’, Adam Radlan komited akan terus berjuang habis-habisan dan percaya kepada sistem badan kehakiman yang bersih dan telus.

“Saya ingin tegaskan bahawa pertuduhan terhadap saya adalah pendakwaan bermotifkan politik dan saya yakin ia akan terbukti sebagai tidak berasas.

“Setelah mengabadikan lebih dari dua dekad dalam bidang perniagaan dan pembinaan, saya sentiasa bertindak dengan kejujuran dan integriti tinggi.

“Saya yakin bahawa pemeriksaan teliti akan menunjukkan bahawa semua tindakan perniagaan dan keputusan saya selaras dengan undang-undang Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Adam Radlan, 42, berdepan enam lagi pertuduhan pengubahan wang haram (AMLA) berjumlah RM3.7 juta di Mahkamah Sesyen Shah Alam, Selangor pada 9 November lalu.

Pengarah Syarikat Bayu Bumiraya Sdn. Bhd. itu mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim, Datuk Anita Harun.

Sebelum ini, ahli politik ini berdepan enam pertuduhan lain iaitu lima kes rasuah berhubung projek Jana Wibawa dan satu AMLA sekali gus menjadikan ahli perniagaan tersebut berdepan 12 pertuduhan meminta, menerima rasuah dan AMLA, yang mana ia akan didengar oleh Hakim, Suzana Hussin.

Mengulas lanjut, Adam Radlan berkata, perjalanan untuk membersihkan namanya mungkin akan panjang, terutamanya dalam zaman digital yang mana cerita-cerita boleh tersebar tanpa sekatan.

Namun, katanya, dengan tekad, iman dan berkat Allah SWT, beliau percaya bahawa kebenaran dan keadilan akan berjaya ditegakkan.

“Saya dengan rendah hati meminta sokongan dan doa dari semua untuk tempoh yang mencabar ini.

“Kepada mereka yang berdiri di sisi saya dan mempertahankan prinsip-prinsip sistem keadilan, saya bersyukur seadanya. Terima kasih atas kepercayaan dan kesabaran anda yang tidak pernah berubah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya