Pencemaran sisa minyak enjin di Bukit Kapar dibersihkan - Utusan Malaysia

Pencemaran sisa minyak enjin di Bukit Kapar dibersihkan

Pencemaran minyak enjin
NIK Nazmi Nik Ahmad bersama jabatan kerajaan di bawah NRECC dan Majlis Perbandaran Klang (MPK) meninjau tapak pencemaran akibat pembuangan sisa minyak enjin dekat kawasan perindustrian Bukit Kapar di Klang, Selangor, hari ini. - UTUSAN / SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Kerja-kerja pembersihan sisa industri dipercayai minyak enjin dekat atas tapak tanah kawasan perindustrian Bukit Kapar seluas 9.7 hektar di sini dimulakan selepas penduduk mengadu kemunculan pihak tidak bertanggungjawab melupuskan bahan tersebut.

Tindakan tersebut diambil pemilik salah lot tanah terjejas itu yang terletak berhampiran Taman Kapar Permai selepas notis diberikan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri ini bermula semalam.

Menteri Alam Sekitar, Sumber Asli dan Perubahan Iklim (NRECC), Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, kementeriannya menerusi JAS menjalankan siasatan bermula 1 November lalu dan mendapati terdapat kesan tompokan minyak di sekitar tapak pembinaan Bukit Kapar.

“Notis kenderaan dikeluarkan di bawah Seksyen 31 dan 37 Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang mengarahkan pemilik tanah berkenaan supaya melakukan kerja-kerja pembersihan dan melupuskan bahan buangan ke premis dilesenkan oleh JAS.

“Jadi, kita tahu semua pemilik tanah ada tanggungjawab ke atas tanah mereka, sekiranya perkara sedemikian berlaku di atas tapak tanah mereka, maka menjadi tanggungjawab mereka untuk mengatasinya, jadi (perlu) mencegahnya terlebih dahulu,” katanya kepada pemberita ketika meninjau tapak pembinaan tersebut, hari ini.

Tambahnya, perkara tersebut juga pernah dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Kapar, Dr. Halimah Ali dalam Dewan Rakyat pada 1 November lalu berikutan insiden tersebut menyebabkan pencemaran alam sekitar.

“Tetapi, masih lagi dalam proses kenal pasti pelaku, ada beberapa insiden juga di sekitar kawasan Kapar melibatkan perkara hampir sama tetapi kita tidak pasti sebab siasatan masih dijalankan sama ada pelakunya orang yang sama ataupun tidak,” jelasnya.

Utusan Malaysia pada 1 November lalu melaporkan lebih 3,000 penduduk resah apabila sebuah tapak perindustrian yang belum dibangunkan projek perkilangan di situ berlaku insiden pencemaran sisa dipercayai minyak enjin.

Disebabkan masalah itu, penduduk di Taman Permai, Taman Damai, Taman Saga, Taman Kapar Permai serta sebuah Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) terpaksa berdepan masalah debu dan lantai berminyak.

Dalam pada itu, Nik Nazmi turut mendedahkan terdapat 178 aduan berkaitan alam sekitar berlaku dalam kawasan Parlimen Kapar yang melibatkan 136 pencemaran udara, 12 buangan terjadual, air (lapan), bunyi (tujuh) dan 15 kacau ganggu serta sampah sarap.

“Kita berharap kepada penduduk yang ada terima aduan sebegini boleh terus laporkan kepada JAS untuk kita ambil tindakan segera dan kita juga tahu banyak kejadian kadang-kadang apa yang kita syaki sebagai sindiket yang bukan kecil-kecil.

“Sebab itu kita perlu satu tindakan bersepadu dan diperingkat JAS, kita bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan, polis dan sebagainya untuk memastikan bila kita turun dapat mengambil tindakan sewajarnya kepada pelakunya,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya