PADANG BESAR: Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mengingatkan bahawa seorang pemimpin harus memberikan hala tuju kepada orang bawahan agar matlamat dapat direalisasikan.
Titah baginda, pemimpin wajib mengambil berat tentang segala perubahan yang berlaku di sekeliling, proses penyesuaian dengan persekitaran kerja amat perlu bagi mewujudkan suasana kondusif dan pemimpin mestilah mampu memberikan maklumat yang baik kepada orang bawahannya.
“Pada masa sama, perkara penting yang mesti dilakukan oleh seorang pemimpin ialah memotivasikan pekerjanya agar segala peraturan yang ditetapkan berjalan dengan baik,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian selepas berkenan berangkat menyempurnakan penyerahan sumbangan agihan zakat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) kepada seramai 140 orang asnaf terpilih dalam kalangan anak kariah Titi Tinggi dan Bukit Chabang baru-baru ini.
Majlis tersebut berlangsung di Masjid Al-Azim, Titi Tinggi, Padang Besar.
Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor.
Tambah Tuanku Syed Faizuddin merangkap Yang Dipertua MAIPs,keberhasilan seseorang pemimpin itu dapat dilihat dengan adanya hubungan yang harmonis antara pekerja, tidak ada permusuhan, komunikasi berjalan lancar, tidak ada celaan, dan terintegrasi.
“Seorang pemimpin itu juga boleh menjejaskan semangat dan prestasi seseorang pekerja. Pemimpin yang baik akan memotivasikan pekerja untuk menonjolkan segala potensi yang ada pada diri mereka seterusnya memberikan hasil yang optimum,” titah baginda.-UTUSAN