PETALING JAYA: Pemilik akaun TikTok yang menularkan video kononnya seorang pemandu bas wanita bercumbuan dalam kenderaan awam yang dipandunya memohon maaf dan mengakui video itu tidak benar.
Pemilik akaun bernama Iffag Danisha itu membuat permohonan maaf di akaun miliknya setelah video yang dimuat naik membabitkan dua pemandu bas berkenaan tular sehingga ke platform media lain.
Katanya, dia mengaku salah dalam menyiarkan video tersebut tanpa kebenaran pemandu bas terlibat dah menyedari dia seharusnya berhubung dan membuat laporan terlebih dahulu kepada pihak pengurusan.
- Pemandu bas bercumbuan: Video tular hanya fitnah, saya dan suami saksi
- Pemandu bas wanita didakwa berkelakuan tidak senonoh
“Tuduhan bercium seperti yang disebut di dalam hantaran saya itu tidaklah benar. Khilaf saya kerana tidak memastikan kejadian tersebut adalah benar atau tidak.
“Saya mengaku telah melakukan banyak salah faham dan kekeliruan ke atas ramai pihak,” katanya dalam satu hantaran di akaun TikTok peribadinya.
Susulan permohonan maaf itu, Iffah telah memadam segala hantaran berkenaan perkara tersebut dan meminta agar pihak-pihak lain yang berkongsi video itu untuk melakukan perkara sama.
“Saya juga ingin memohon maaf kepada pemandu bas tersebut. Saya mohon maaf atas kekhilafan saya,” katanya. – UTUSAN