KLANG: Kilang belum dibina, pencemaran minyak sudah berlaku.
Demikian masalah dihadapi lebih 3,000 penduduk sekitar Bukit Kapar di sini apabila berlaku aktiviti pembuangan sisa industri dipercayai minyak dekat sebuah tanah lapang yang dijadikan kawasan industri.
Disebabkan masalah itu, penduduk di Taman Permai, Taman Damai, Taman Saga, Taman Kapar Permai serta sebuah Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) terpaksa berdepan masalah debu dan lantai berminyak.
Ini kerana kedudukan kawasan-kawasan berkenaan berada dalam lingkungan 300 meter dari lokasi pembuangan sisa tersebut dan sebahagian besar mereka mendakwa pencemaran itu turut mencetuskan bau.
Seorang penduduk, Zahara Ishaque, 64, berkata, pencemaran itu berlaku lebih sebulan lalu dan ia mencetuskan keresahan sebab terdapat masalah bau yang sering melanda pada waktu panas.
“Debu hitam menebal pada setiap permukaan di kawasan rumah. Saya yang berniaga pun berdepan masalah serupa apabila kotoran tersebut melekat dekat atas meja makan dan lantai menyebabkan saya kena tutup semua pinggan, cawan, sudu dan sebagainya.
“Pada waktu tengah hari atau cuaca panas, masalah bau pula akan datang, ia bukan seperti bau sampah tetapi macam bahan kimia yang menyebabkan kami kerap kali sakit kepala dan tidak boleh bernafas dengan selesa,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
Seorang lagi penduduk, Valarmathi Raja Gopal, 58, memberitahu, pembukaan kawasan industri tersebut mencetuskan banjir ketika hujan lebat dan lebih buruk limpahannya membawa sisa seperti minyak yang berwarna hitam.
“Sekarang teruk sangat, bila mereka ratakan tanah yang asalnya ladang kelapa sawit itu menyebabkan sisa tanah menutupi longkang, bila hujan lebat air tak mengalir mencetuskan banjir.
“Bila tak hujan pula rumah jadi berdebu dan kotor, ditambah pula dengan masalah orang buang sisa kimia macam minyak. Rumah saya dekat Taman Damai tak jauh pun dari kawasan tersebut, sebab itu terpaksa berdepan masalah tersebut dan bau busuk setiap hari,” katanya.
Pemerhatian di tapak pembinaan tersebut mendapati, terdapat laluan masuk yang tidak dipagar menyebabkan sebarang kenderaan boleh memasukinya.
Oleh demikian, keadaan itu menyebabkan tindakan pembuangan sisa boleh dibuat sesuka hati oleh pihak tidak bertanggungjawab apabila terdapat tompokan-tompokan besar berwarna hitam dipercayai minyak enjin terpakai.
Pada waktu panas, berlaku pemeruapan pada minyak tersebut yang mencetuskan pelepasan gas berbahaya dan berbau busuk sehingga mendatangkan rasa tidak selesa pada dada dan pening.
Sementara itu Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga Taman Damai, Letchumani Subramaniam memaklumkan, penduduk membantah tapak tersebut dijadikan kawasan industri kerana terlalu dekat dengan rumah.
“Kurang 100 meter dari kawasan rumah hendak dijadikan perindustrian berat dan sederhana. Sekarang belum naik kilang pun sudah berlaku pencemaran. Laluan yang ada pun kerap dilalui lori-lori sampah mencetuskan masalah lain pula.
“Kami gesa pihak berkuasa bertindak segera teliti semula projek, bersihkan sisa pencemaran atau kami terpaksa membuat bantahan secara besar-besaran,” katanya.-UTUSAN