BUKIT MERTAJAM: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang memuji usaha pembekal yang menjual ayam segar pada harga lebih rendah biarpun sudah lebih seminggu subsidi ayam dimansuhkan.
Pengarahnya, S. Jegan berkata, pihaknya tidak menerima sebarang laporan berhubung kenaikan harga ayam susulan ia dijual lebih murah berbanding harga kawalan dahulu iaitu RM9.40 per kilogram (kg).
“Bermula 1 November lalu, pasukan penguat kuasa kementerian menjalankan pemantauan rapi di pasar serta pasar raya dan kita dapati ayam dijual dengan harga murah.
“Kebanyakan pembekal ini setiap hari berlumba-lumba merendahkan harga ayam sehingga RM7.80, RM7.50 dan hari ini RM6.99 per kg.
“Diharapkan persaingan sihat ini akan diteruskan untuk membantu rakyat secara amnya,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali 2023 Econsave Alma, di sini hari ini.
Awal bulan ini, media melaporkan kerajaan menamatkan subsidi dan harga kawalan bagi ayam sepenuhnya bermula 1 November selaras dengan pendekatan penyasaran semula subsidi secara berfasa.
Dalam perkembangan lain, Jegan berkata, pihaknya telah menjalankan pemeriksaan ke atas 44,676 premis di seluruh negeri bermula dari 1 Januari sehingga semalam.
Daripada jumlah itu, jelas beliau, sebanyak 744 kes meliputi pelbagai kesalahan telah diambil tindakan dengan jumlah sitaan RM3,120,321.20 dan kompaun sebanyak RM607,900 setakat ini.
“Selain itu, sebanyak 2,303 aduan diterima dan daripada jumlah tersebut, 384 laporan membabitkan harga barangan dan perkhidmatan, 131 laporan membabitkan bekalan barang kawalan manakala selebihnya melibatkan lain-lain aduan,” katanya.
Jegan turut menasihati pengguna supaya lebih berhati-hati dan jika mempunyai sebarang maklumat berhubung isu berkaitan boleh mengemukakan aduan bersama butiran serta maklumat yang lengkap melalui saluran WhatsApp di talian 019-2794317 atau 019-8488000.
“Aduan juga boleh dibuat menerusi talian 1-800-886-800, portal e-Aduan KPDN iaitu http://e.aduan.kpdn.gov.my, e-mel di [email protected], aplikasi Telefon Pintar Ez ADU KPDN atau Bilik Gerakan Penguatkuasaan di talian 03-8882 6088/6245,” katanya. – UTUSAN