Pembantu klinik didakwa buat hantaran jelik, bunuh Muhyiddin

Pembantu klinik didakwa buat hantaran jelik, mahu bunuh Muhyiddin

MUHYIDDIN YASSIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR:  Seorang pembantu klinik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ampang dekat sini atas pertuduhan membuat hantaran jelik dalam Facebook untuk membunuh Tan Sri Muhyiddin Yassin pada hari yang sama beliau dilantik sebagai Perdana Menteri Kelapan, tiga tahun lalu.

Bagaimanapun, tertuduh Tai Zee Zing, 31, yang merupakan rakyat tempatan bertugas di Singapura meminta dibicarakan selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Wan Mohd. Norisham Wan Yaakob.

Mengikut pertuduhan, Zee Zing didapati membuat dan memulakan hantaran komunikasi jelik iaitu ‘Can Hire Killer To Kill New Prime Minister?’ (Boleh Mengupah Pembunuh Untuk Bunuh Perdana Menteri Baharu?) dengan niat menyakitkan hati orang lain. 

Perbuatan itu didakwa dilakukan menggunakan Facebook melalui profil ‘Penny Tai’ di Balai Polis Ampang dekat sini pukul 12.35 tengah hari pada 1 Mac 2020 iaitu pada hari yang sama Muhyiddin dilantik sebagai Perdana Menteri Kelapan.

Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Wanita itu didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a)(ii) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Hakim Amir Abdul Hamid mencadangkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali dan menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Namun, peguam Rajsurian Pillai yang mewakili tertuduh memohon jaminan rendah kerana anak guamnya yang belum berkahwin mempunyai tanggungan ibu dan bapa.

“Saya membantah syarat tambahan (pasport diserahkan) kerana anak guam saya turut melanjutkan pelajaran di Singapura dalam jurusan Pengurusan Perniagaan. 

“Sepanjang siasatan, tertuduh memberikan kerjasama yang baik dan hari ini dia datang sendiri ke mahkamah bagi pendakwaan,” kata peguam itu.

Selepas mendengar makluman dan permohonan kedua-dua belah pihak, Wan Mohd. Norisham membenarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin dan tidak mengenakan syarat tambahan (pasport diserahkan) memandangkan tertuduh sedang melanjutkan pelajaran di republik itu.

Tarikh 20 Disember ini ditetapkan sebagai sebutan kes. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN