Dua lelaki berpura-pura jadi pelanggan sebelum menyamun pembantu kedai

Dua lelaki berpura-pura jadi pelanggan sebelum samun pembantu kedai

SITI Mariam Md. Noor menceritakan detik cemas disamun dua lelaki yang melarikan begnya di sebuah kedai makan di Kampung Meraga Beris, Kijal, Kemaman, hari ini. - UTUSAN/NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN: Seorang pembantu kedai makan berdepan detik cemas selepas disamun dua lelaki yang berpura-pura menjadi pelanggannya dalam kejadian di Kampung Meraga Beris, Kijal di sini, Sabtu lalu. 

Mangsa, Siti Mariam Md. Noor, 34, berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 7.45 pagi itu, dia mengalami kerugian kira-kira RM4,000 selepas beg galasnya yang mengandungi wang tunai dan beberapa barangan berharga dilarikan suspek. 

Menurutnya, ketika kejadian, kedai makan tersebut tidak beroperasi berikutan dia dan empat lagi pekerja termasuk pemilik kedai sedang siap menyiapkan tempahan makanan. 

“Pada awalnya, dua lelaki yang menaiki sebuah kereta berwarna putih berhenti dan bertanya sama ada kedai dibuka atau tidak. 

“Selepas diberitahu kedai tidak dibuka, salah seorang daripada suspek kemudiannya turun dari kereta sambil membawa botol air dan meminta diisikan air masak,” katannya ketika ditemui di lokasi kejadian. 

Siti Mariam berkata, ketika dia mahu masuk ke bahagian dapur untuk mengambil air, lelaki itu bertindak melarikan beg miliknya yang diletakkan di atas kerusi. 

“Saya tengok lelaki itu cepat-cepat melarikan diri selepas mengambil beg saya. Saya hanya mampu menjerit ketakutan sebelum pekerja lain keluar,” katanya. 

Sementara itu Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Hanya Ramlan mengesahkan menerima laporan berkenaan kejadian.

Menurutnya, pihaknya kini sedang giat memburu kedua-dua suspek yang dipercayai turut terlibat dalam beberapa kes samun yang dilaporkan di daerah ini sebelum ini. 

“Hasil siasatan awal mendapati nombor pendaftaran kenderaan yang digunakan adalah palsu dan kes akan disiasat di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan,” katanya.  – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya