Pembangunan bandar inklusif menjamin komuniti sejahtera

Pembangunan bandar inklusif menjamin komuniti sejahtera

Perancangan bandar dan desa bukan hanya melihat aspek pembangunan fizikal, tetapi juga perlu diteliti dari aspek sosial, ekonomi, alam sekitar dan sosiobudaya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jumlah penduduk Malaysia yang tinggal di bandar dijangka terus meningkat kepada 80 peratus menjelang 2030 berbanding 75.5 peratus pada masa ini.

Justeru Ketua Pengarah Perancangan Bandar dan Desa Dr. Alias Rameli berkata, semua perancangan dan pembangunan negara perlu didasari dengan inisiatif perancangan mikro berasaskan komuniti atau Peringkat Ke-4 Perancangan Bandar yang terdapat dalam Rangka Kerja Perancangan Spatial Negara.

Alias Rameli

Selain itu katanya, pelaksanaan perlu mengikut kehendak komuniti, bersifat manusiawi dan keterangkuman dalam perancangan menerusi konsep merancang bersama komuniti serta mengikuti latihan dengan meningkatkan penglibatan komuniti setempat.

“Komuniti dalam masa yang sama perlu sama merancang petempatan ke arah kesejahteraan, kemakmuran dan keharmonian alam sekitar secara holistik khususnya terhadap dasar dan pelan sedia ada.

“Dalam merealisasikan tema, harapan dan aspirasi rakyat kepada Agenda Memperteguhkan Perancangan Bandar dan Desa di Malaysia, sudah tentu persekitaran bandar, kawasan penempatan dan desa perlu diperkemaskan dengan langkah dan tindakan transformasi, baik dari segi kaedah, model dan mekanisme perancangan pembangunan bagi meningkatkan tahap daya huni dan kesejahteraan masyarakat,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia sempena Hari Perancangan Bandar Sedunia (HPBS) yang disambut hari ini.

HPBS disambut bagi menghargai peranan dan sumbangan Perancang Bandar dalam melaksanakan agenda perancangan serta pembangunan bandar atau desa secara sistematik, inklusif dengan bermatlamatkan pencapaian pembangunan mampan selaras agenda Malaysia Madani.

Tema sambutan HPBS 2023 tahun ini iaitu ‘Malaysia Madani, Komuniti Sejahtera’ selaras dengan enam nilai teras Malaysia Madani antara lainnya menekankan kemampanan bagi mewujudkan mutu hidup seimbang berdasarkan citra Malaysia yang unik dan kesejahteraan pelbagai aspek kehidupan.

Dalam pada itu Alias berkata, misi Kementerian Pembangunan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) serta PLANMalaysia kini tertumpu kepada melaksanakan Possible City Mission: To Transform Our Cities for A Better Urban Future.

“Aspek kesempurnaan dalam mereka bentuk dan membangunkan perabot jalanan dan penciptaan tempat serta ruang awam akan diutamakan dalam pembangunan bandar mahupun desa.

“Bukan itu sahaja, penempatan komuniti juga bersandarkan amalan terbaik perancangan dari Australia yang boleh dijadikan inspirasi perancangan di Malaysia seperti penyediaan tram dalam bandar dan penyediaan perabot jalanan yang terbaik,” jelasnya.

 

Tambah Alias, penggemblengan tenaga dan pengukuhan usaha sama perlu bersifat kepada pencapaian matlamat keberhasilan demi mewujudkan kualiti persekitaran penempatan komuniti di bandar yang terancang, sejahtera, selamat serta mampan.

“Dalam mencapai matlamat keberhasilan bandar yang diimpikan, aturan langkah dan pelaksanaan perancangan dan pembangunan tentunya tidak boleh dilaksanakan secara silo dan amalan kurang berintegrasi.

“Pencapaian matlamat Bandar Mampan dan Sejahtera memerlukan transformasi minda, kaedah dan tatakelola perancangan serta pengurusan bandar dalam kalangan semua custodian dan stakeholder bandar mahupun desa,” ujarnya.

Selain itu katanya, penglibatan secara langsung semua pihak pihak berkuasa tempatan, seluruh agensi awam, pihak pemaju, urban industry dan pemain industri penting agar keterlibatan, kecaknaan serta perubahan kelakuan warga bandar selaras dengan dasar visi negara.

Menurutnya, kolaboratif yang utuh secara bersama adalah prasyarat dan faktor kejayaan utama menyumbang kepada pencapaian Matlamat Pembangunan Mampan.

Sementara itu, HPBS Peringkat Kebangsaan anjuran PLANMalaysia dengan kerjasama Pertubuhan Perancang Malaysia (MIP) dan Perbadanan Putrajaya kali ini mempunyai keistimewaan dan signifikan sendiri apabila Malaysia menjadi tuan rumah bagi Commonwealth Association of Planners (CAP) Business Assembly Meeting yang menghimpunkan 30 organisasi perancang bandar profesional dari negara-negara Komanwel.

Dua acara utama telah dirancang dalam HPSB iaitu Persidangan Perancangan Peringkat Kebangsaan serta Majlis Sambutan HPBS 2023.

Selain itu penyampaian anugerah turut dinantikan selepas PLANMalaysia memperkenalkan Malaysia Urban Planning Awards (MUPA), iaitu satu platform pengiktirafan dan penghargaan khususnya kepada PBT.

Di samping itu, tiga anugerah akan disampaikan iaitu Malaysia Outstanding Sustainable Development Award 2023, Penghargaan Bandar Mampan 2023 dan Anugerah Penarafan Bandar Pintar 2023. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya