KEKURANGAN fizikal menyebabkan pelajar Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Perlis, Perlis sering diselubungi rasa rendah diri.
Namun, sikap itu makin terhakis apabila mereka didedahkan dengan seni tanah liat sejak tujuh tahun lalu.
Daripada seorang yang sukar menggerakkan otot-otot kecil di tangan dan jari-jemari, kini kesemua 14 pelajar orang kurang upaya (OKU) itu mahir membuat bentuk atau objek yang diinginkan.
Malah, mereka juga cekap memegang berus untuk melukis dan mewarna tanah liat.
Guru pendidikan khas, Zurainie Md. Jas berkata, aktiviti seni tanah liat itu mula diperkenalkan pada 2016 bagi mengasah kemahiran motor halus pelajar.
Lama-kelamaan, beliau menyedari perubahan ketara dalam diri pelajar apabila lebih yakin dan bersemangat di kelas.
“Hal itu didorong oleh keterujaan dapat menghasilkan sesuatu yang istimewa untuk diri dan secara tidak langsung mampu mengharumkan nama sekolah.
“Bukan itu sahaja, saya turut dapati bakat mereka kini jauh lebih mahir berbanding guru-guru dan boleh berkarya mengikut kreativiti masing-masing,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.
Katanya, antara produk yang dihasilkan ialah magnet peti sejuk, bingkai gambar, lukisan dan rantai kunci yang berharga dari RM5 hingga RM250.
Kesemua karya seni pelajar turut dijadikan sebagai cenderamata untuk tetamu di sekolah dan dihantar ke Korea Selatan di samping untuk jualan.
DIY GUNA TEPUNG JAGUNG
Istimewanya, tanah liat itu dihasilkan secara do it yourself (DIY) menggunakan campuran tepung jagung dan gam.
Zurainie berkata, idea itu tercetus kerana kekangan harga tanah liat yang mahal di pasaran.
“Demi pelajar, saya berguru di YouTube tentang cara pembuatan tanah liat dan ilmu itu kemudian dikongsikan bersama lima cikgu lain.
“Hasilnya, kita dapat menjimatkan wang kerana mampu menghasilkan tanah liat sendiri,” katanya.
MAGNET PETI SEJUK
Terkini, pelajar PPKI sekolah ini giat menghasilkan magnet peti sejuk daripada tanah liat yang bertemakan Kampung Nelayan Warna-Warni Seberang Ramai, di daerah sama.
Menariknya, kesemua produk itu dihasilkan 100 peratus oleh pelajar tanpa bantuan guru, sejak bulan lalu.
Kata Zurainie, penjualan magnet itu selaras dengan Tahun Melawat Perlis 2024.
“Setakat ini lebih 100 magnet sudah disiapkan dan akan dihantar ke Langkawi di samping di premis-premis pelancongan di Jeti Kuala Perlis.
“Saya bangga dengan pencapaian mereka kerana kesemua proses itu termasuk rekaan dan mewarna adalah berdasarkan cetusan idea serta kreativiti pelajar,” katanya.
Mereka yang berminat boleh melayari laman Facebook Colazian Art Gallery SMK Kuala Perlis.