Peguam dibenar cabar kredibiliti saksi penting kes Guan Eng

Peguam dibenar cabar kredibiliti saksi penting kes Guan Eng

Bicara kes rasuah terowong Lim Guan Eng.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pasukan pembelaan dibenar oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini untuk memulakan prosiding mencabar kredibiliti saksi penting pendakwaan, Datuk Zarul Ahmad Mohd. Zulkifli pada perbicaraan kes rasuah terowong dasar laut Pulau Pinang melibatkan Lim Guan Eng.

Hakim Azura Alwi memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan pihak pembelaan bagi menentukan sama ada wujud percanggahan pernyataan Zarul Ahmad ketika siasatan sebuah kes berlainan di Shah Alam dengan keterangannya ketika menjadi saksi kes bekas Ketua Menteri Pulau Pinang.

Beliau selanjutnya mengarahkan pihak pendakwaan membekalkan salinan pernyataan Zarul Ahmad yang direkodkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam kes melibatkan ahli perniagaan, G. Gnanaraja di Shah Alam.

“Saya mengarahkan keseluruhan pernyataan itu diserahkan kepada mahkamah terlebih dahulu dalam tempoh dua minggu bagi membolehkan saya meneliti sama ada wujud percanggahan atau sebaliknya. Jika wujud percanggahan, barulah salinan pernyataan itu dibekalkan kepada pihak pembelaan untuk memulakan prosiding mencabar kredibiliti Zarul Ahmad,” ujar beliau.

Mahkamah kemudian menetapkan 17 November ini bagi status perkembangan penyerahan pernyataan tersebut dan menentukan sama ada prosiding mencabar kredibiliti saksi wajar diteruskan, atau sebaliknya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin memaklumkan pihaknya bersedia membekalkan salinan pernyataan Zarul Ahmad dalam tempoh dua minggu.

Bagaimanapun, peguam Gobind Singh Deo berpendirian bahawa pernyataan itu diserahkan kepada pembelaan terlebih dahulu bagi membolehkan pihaknya menunjukkan kepada mahkamah butiran yang didakwa bercanggah.

Pada 24 Oktober lalu, pihak pembelaan memohon mendapatkan salinan pernyataan Zarul Ahmad bagi membolehkan pihaknya memulakan prosiding mencabar kredibiliti beliau yang juga saksi pendakwaan ke-23 (SP23).

Gobind berhujah, pihak pembelaan berhak menyoal pengarah syarikat itu berhubung isu wang RM2 juta masing-masing untuk Guan Eng dan Najib yang diberikan melalui Gnanaraja selaku orang tengah pada 2017.

Gobind membayangkan bahawa Zarul Ahmad menipu kerana pada perbicaraan lalu, mahkamah diberitahu oleh saksi-saksi lain bahawa penyerahan hanya melibatkan wang RM2 juta, bukan RM4 juta.

“Wujud percanggahan yang serius dalam pernyataan Zarul Ahmad dan kami memohon untuk mencabar krebitilitinya mengikut Seksyen 145 Akta Keterangan 1950,” ujar Gobind.

Sehari sebelumnya, Zarul Ahmad ketika memberi keterangan berkata, wang RM2 juta dibayar melalui cek kepada bekas Ketua Menteri Pulau Pinang berhubung pelaksanaan projek terowong dasar laut dan jalan utama di negeri itu.

Ujarnya, wang RM2 juta lagi diberi secara tunai kepada bekas Perdana Menteri bertujuan menutup siasatan SPRM terhadap syarikatnya. Beliau ketika itu pengarah Consortium Zenith Construction Sdn. Bhd. (CZCSB) iaitu syarikat yang dilantik melaksanakan projek terowong dasar laut Pulau Pinang. CZCSB dahulunya dikenali sebagai Consortium Zenith Beijing Urban Construction Group Sdn. Bhd. (CZBUCG).

Sementara itu, Wan Shaharuddin memohon agar permohonan itu ditolak atas alasan ia dikemukakan tanpa mengikut prosedur yang betul. Beliau berhujah, permohonan itu tidak berasas kerana hanya bertujuan untuk `memancing maklumat’ daripada pernyataan Zarul Ahmad, walhal sebarang maklumat boleh diperolehi dengan menyoal balas saksi berkenaan.

“Permohonan pihak pembelaan pada peringkat ini adalah bersifat pramatang kerana ia hanya bersandarkan kepada keterangan Zarul Ahmad bahawa beliau telah membuat pembetulan dalam pernyataannya kepada SPRM.

“Apa yang pihak pembelaan mahukan ialah untuk meneliti pernyataan itu bagi memastikan sama ada pembetulan telah dibuat, bukan untuk prosiding mencabar kredibiliti saksi,” ujar Wan Shaharuddin.

Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu sedang dibicarakan atas pertuduhan menerima suapan wang RM3.3 juta sebagai tindakan membantu CZBUCG milik Zarul Ahmad dilantik melaksanakan projek terowong dasar laut dan jalan utama bernilai RM6.3 bilion.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di antara bulan Januari 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, KOMTAR. Dia didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009 (Akta 694) yang memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun dan tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Selain itu, beliau didakwa terhadap tuduhan pindaan meminta suapan iaitu balasan berharga berupa 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh Zarul Ahmad sebagai upah membantu syarikat miliknya dilantik melaksanakan projek itu.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di antara pukul 12.30 pagi dan 2 pagi, pada bulan Mac 2011 berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City di sini. Ahli Parlimen Bagan itu turut didakwa atas dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang bernilai RM208.8 juta dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut di sana.

Mengikut pertuduhan pertama, Guan Eng didakwa menyebabkan Pendaftar Tanah Pulau Pinang melupuskan harta milik kerajaan negeri iaitu, Lot Tanah No. H.S.(D) 18801, No. PT Lot 702 Seksyen 1, Bandar Tanjong Pinang, Daerah Timor Laut, Pulau Pinang, bernilai RM135,086,094 kepada Syarikat Ewein Zenith Sdn Bhd.

Guan Eng juga dituduh menyebabkan Pendaftar Tanah Pulau Pinang melupuskan Lot Tanah No.H.S.(D) 19318, No. PT Lot 10012 Seksyen 1, Bandar Tanjong Pinang, Daerah Timor Laut, bernilai RM73,668,986 kepada Syarikat Zenith Urban Development Sdn Bhd.

Guan Eng didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, Tingkat 21, KOMTAR pada 17 Februari 2015 dan 22 Mac 2017. Pendakwaan terhadap beliau dikemukakan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum enam bulan dan maksimum lima tahun dan sebatan serta denda, jika sabit kesalahan. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN