Pegawai lantikan politik perlu patuh Perkara 43 C

Pegawai lantikan politik perlu patuh Perkara 43 C

MUHAMMAD SANUSI MD. NOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Pegawai-pegawai lantikan politik terutamanya bagi jawatan Setiausaha Politik di peringkat Persekutuan perlu mematuhi Perkara 43 C Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan dengan jelas mereka tidak boleh mencampuri urusan pentadbiran kerajaan.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, mereka diingatkan supaya sentiasa belajar dan menyedari perkara itu kerana urusan pentadbiran sepatutnya hanya diuruskan oleh pegawai tadbir diplomatik (PTD) atau pegawai tadbir negeri Kedah (KCS).

“Kena faham, pegawai politik ini sentiasa dipengaruhi oleh kecenderungan politiknya. Jadi mereka tak boleh uruskan pentadbiran kerajaan. Sebab itu kena ada PTD dalam kumpulan pengurusan dan profesional untuk uruskan pentadbiran kerajaan. 

“Itu perkara asas dalam berkerajaan dan kalau tak faham perkara tersebut, (boleh) rosak kerajaan kita,” katanya dalam sidang akhbar selepas Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.

Menurut Perkara 43 C, tugas dan kewajipan yang dilaksanakan Setiausaha Politik hendaklah tertumpu pada kerja-kerja yang bercorak politik sahaja.

Semalam, Muhammad Sanusi mendakwa isu ‘Little Napoleon’ yang pernah disuarakan beliau sebelum ini masih berlaku dalam cubaan pihak tertentu untuk mengeruhkan hubungannya dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurutnya, kejadian seumpama itu sekali lagi berlaku baru-baru ini ketika beliau mengiringi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Sadao apabila aturan program yang pada awalnya sudah tersusun menjadi bercelaru berikutan permainan ‘Little Napoleon’.

Sementara itu, Muhammad Sanusi turut mengingatkan golongan terbabit serta para pegawai kerajaan lain di peringkat Persekutuan agar tidak memandang rendah pentadbiran setiap negeri.

“Jangan anggap negeri-negeri ini peranannya kecil kerana kalau negeri tidak menyerahkan kuasa untuk membentuk Malaysia, maka Persekutuan tidak akan wujud. Perkara itu perlu difahami. Jangan anggap orang lain boleh diarah sesuka hati kerana setiap pihak dalam Malaysia ini ada hak, peranan dan fungsi yang perlu dipatuhi serta dihormati,” katanya.

Dalam pada itu Muhammad Sanusi berkata, beliau memberikan teguran itu kepada semua pihak termasuk dirinya sendiri agar menasihatkan pegawainya terutama lantikan politik agar tidak mencampuri urusan kerajaan.

“Di pihak sebelah sana pun sama, mereka sepatutnya tak serahkan urusan kerajaan kepada orang sebegini (Little Napoleon). Saya fikir ini salah satu isu yang membelenggu kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini, hingga menyebabkan mereka ‘terbalik’ dalam tempoh 22 bulan.

“Ketika itu lantikan politik dan pegawai kerajaan tak boleh ‘masuk’ (bekerjasama) hingga pada akhirnya orang kerajaan duduk sebelah sini dan orang politik duduk sebelah sana, kesudahannya kerajaan menjadi lemah,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya