SHAH ALAM: Parti Bersatu mencatatkan keahlian lebih setengah juta apabila merekodkan seramai 600,667 orang mendaftar sebagai ahli menerusi 202 bahagian dan 7,352 cawangan di seluruh negara.
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, keahlian dan penubuhan bahagian serta cawangan tersebut direkodkan sehingga 20 November lalu.
“Saya ingin melaporkan, untuk makluman para perwakilan sebanyak 202 Bahagian Bersatu ditubuhkan di seluruh negara dengan bilangan ahli berjumlah 600,667 ahli semuanya.
“Manakala bagi peringkat cawangan, sebanyak 7,352 cawangan berjaya ditubuhkan dan sehingga 20 November 2023,” katanya ketika berucap pada perasmian Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu Keenam 2023, hari ini.
Lebih 2,000 perwakilan dilaporkan hadir pada perhimpunan kali ini yang berlangsung selama tiga hari bermula semalam dengan persidangan sayap-sayap iaitu Armada, Srikandi, Srikandi Muda dan Bersekutu.
PAT Bersatu dijadualkan berakhir esok dengan penggulungan dibuat oleh Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin. – UTUSAN