Pasti turut jadi pilihan bukan Islam - Utusan Malaysia

Pasti turut jadi pilihan bukan Islam

AFNAN Hamimi Taib Azamuddin bergambar bersama murid Pasti sewaktu Majlis Penutup Program Alam Ria Pasti Malaysia 2023 di Dewan Wawasan 2020, Kangar, Perlis, semalam.-UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) terus menjadi pilihan apabila turut menarik minat ibu bapa bukan Islam yang memilih menghantar anak-anak mereka belajar di sana.

Justeru, polemik kononnya pusat asuhan itu menyerap unsur politik adalah tidak berasas sama sekali, malah ramai waris tanpa mengira fahaman politik juga menghantar anak mereka ke Pasti kerana yakin dengan silibus serta nilai-nilai Islam yang diterapkan untuk kanak-kanak.

Setakat ini, sebanyak 139,000 murid belajar di Pasti membabitkan 2,680 premis seluruh negara dengan jumlah tersebut dijangka meningkat sehingga 200,000 dalam tempoh terdekat.

Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamuddin berkata, ibu bapa terus memberi kepercayaan kepada Pasti dengan waris yang menghantar anak-anak ke pusat asuhan termasuk dalam kalangan bukan Islam.

Katanya, setakat ini, antara 10 ke 20 murid dalam kalangan bukan Islam di Pasti Pulau Pinang, Selangor, Sabah dan Sarawak.

Ujarnya, masyarakat termasuk bukan Islam boleh menerima silibus dan pendekatan ditawarkan di Pasti.

“Pendekatan yang diajar kepada murid bukan Islam ini juga sama. Selain itu, Pasti ini juga bukan tempat anak-anak penyokong Pas sahaja, sebaliknya anak-anak orang UMNO dan lain-lain juga menghantar anak-anak mereka.

“Silibus yang ditawarkan tidak lari jauh dengan pendidikan arus perdana dengan kita tambah daripada nilai dan sudut akhlak.

“Yang menggubal silibus pula terdiri dalam kalangan tokoh dan ahli-ahli akademik. Kita tidak pernah menanam ekstremisme parti di dalam silibus Pasti. Ia berkaitan akidah, ibadah dan akhlak,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penutup Program Alam Ria Pasti Malaysia 2023 di Dewan Wawasan 2020, di sini, semalam.

Tambah Afnan Hamimi lagi, keistimewaan Pasti antara lain yuran yang ditawarkan lebih murah berbanding tempat-tempat pra sekolah lain.

“Malah, keikhlasan guru-guru meskipun bayaran atau sumbangan yang diterima tidaklah setimpal namun keikhlasan yang diberikan menyebabkan waris-waris dapat merasainya,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya