Pas tidak patut biar Siti Mastura nampak dungu, tidak dibela - Amanah - Utusan Malaysia

Pas tidak patut biar Siti Mastura nampak dungu, tidak dibela – Amanah

SITI MASTURA MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pas tidak sepatutnya membiarkan Ahli Parlimen Kepala Batas, Dr. Siti Mastura Muhammad kelihatan dungu dengan hanya berdiam diri berhubung dakwaannya Pengerusi DAP, Lim Guan Eng mempunyai hubungan kekeluargaan dengan komunis, Chin Peng.

AZHAR RAHMAN

Exco Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah), Azhar Rahman berkata, sejak ucapan Siti Mastura mengaitkan Guan Eng dengan Chin Peng tular, tiada pemimpin Pas lain membelanya untuk mempertahan dakwaan tersebut.

“Paling tidak, keluarkanlah kenyataan menyokong apa yang diucap Mastura sebagai tanda solidariti

apabila beliau diasak bertubi-tubi oleh pimpinan DAP. Atau, sekiranya apa yang diucap beliau jelas tidak berasas, keluarkan kenyataan permohonan maaf bagi pihak beliau.

“Gunakan sahaja alasan yang kenyataan beliau telah dimanipulasi atau diambil di luar konteks seperti yang biasa pimpinan Pas lakukan supaya serangan lawan dapat dikurangkan.

“Selepas 48 jam, Guan Eng telah mengambil tindakan memulakan saman terhadap beliau, namun, masih tiada kedengaran sebarang usaha membela beliau atau paling tidak menyediakan khidmat guaman untuk membela beliau.

“Pemimpin Pas tidak patut biarkan Mastura kelihatan dungu begitu. Apatah lagi beliau sebagai pimpinan wanita muda yang kuat mempertahan kepimpinan Pas setiap masa,” katanya dalam kenyataan.

LIM GUAN ENG

Semalam, Guan Eng memberitahu memulakan tindakan undang-undang terhadap Siti Mastura selepas mendakwa beliau mempunyai hubungan kekeluargaan Chin Peng.

Katanya, beliau sudah melantik Datuk Sankara Narayanan Nair sebagai peguamnya untuk memulakan tindakan dan prosiding undang-undang terhadap Siti Mastura.

Katanya, tindakan itu berdasarkan ucapan kebencian Siti Mastura di Kemaman, Terengganu pada majlis Ameerah atau ahli wanita muda Pas pada 4 November lalu yang diselit dengan pembohongan keterlaluan dan fitnah jahat.

Beliau sebelum ini memberi masa dua hari (hingga Khamis lalu) untuk Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS Pulau Pinang itu mengemukakan bukti jika benar beliau mempunyai hubungan kekeluargaan dengan Chin Peng dan bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew.

Beliau sebelum itu menunjukan klip video ucapan yang dimuat naik di media sosial menyaksikan Siti Mastura mengaitkan Guan Eng dan isterinya, Betty Chew Gek Cheng dengan pemimpin DAP lain.

Pemimpin DAP yang disebut itu ialah Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok Suh Sim; Ahli Parlimen Teluk Intan, Nga Kor Ming dan Ahli Parlimen Beruas, Ngeh Koo Ham.

Bagaimanapun ketika ditemui pemberita, Siti Mastura nampaknya tidak gentar malah mengelak dari menjawab soalan yang ditanya pemberita.

Isu dakwaan Siti Mastura kemudian merebak dan panas dalam Dewan Rakyat selepas beberapa ahli parti DAP, menuntut penjelasan semasa beliau membahaskan usul Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2024 di peringkat jawatankuasa, di Dewan Rakyat baru-baru ini.

Bagaimanapun Siti Mastura tidak mengendahkan celahan itu dan meneruskan hujahan seperti biasa sehingga Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul mematikan pembesar suaranya seketika dan bertanya jika beliau mahu memberi orang lain mencelah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya