KUALA LUMPUR: Pas berharap empat ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dapat mempertimbangkan semula tindakan mereka yang sebelum ini menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri.
Selain mengakui parti Islam itu kecewa akan tindakan empat ahli Parlimen berkenaan, Ahmad Fadhli Shaari [PN-Pasir Mas] bagaimanapun berkata, beliau yakin Bersatu sedang mengambil langkah sewajarnya bagi menangani isu tersebut kerana ia adalah tindakan individu dan bukan parti.
“Saya yakin Bersatu sedang dan akan mengambil langkah sewajarnya untuk mengekang aktiviti tersebut. Ia merupakan tindakan individu dan individu itu tidak boleh dikaitkan dengan parti.
“Ya, kita kecewa, tetapi kita harap mereka yang pergi ke sebelah sana dapat menimbangkan semula tindakan mereka untuk menarik balik apa yang mereka laksanakan,” katanya pada sidang media dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.
Sebelum ini, empat ahli Parlimen Bersatu mengisytiharkan sokongan kepada kerajaan dan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dengan memberi alasan demi mempertingkatkan pembangunan dan bantuan untuk kawasan mereka ketika rakyat berdepan peningkatan kos sara hidup.
Empat ahli parlimen berkenaan ialah Mohd. Azizi Abu Naim (Gua Musang), Zahari Kechik (Jeli), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Suhaili Abd Rahman (Labuan).
Mengulas lanjut, Ahmad turut mengecam tindakan kerajaan yang menerima sokongan daripada empat ahli Parlimen berkenaan kerana ia bertentangan dengan prinsip yang mereka amalkan.
“Ia menunjukkan satu bukti bahawa kerajaan yang ada pada hari ini adalah kerajaan tidak tahu malu sebab mereka sendiri nyatakan mereka menentang aktiviti lompat parti dan sebagainya, tetapi bila sepatutnya, bila empat ahli Parlimen ini menukar sokongan, mereka perlu tolak sokongan ini kerana bertentangan dengan prinsip yang mereka amalkan selama ini.
“Apa yang kerajaan lakukan hari ini akan memakan diri mereka, mungkin tak lama lagi atau suatu masa nanti,” ujarnya.-UTUSAN