Pas belum muktamad calon PRK Parlimen Kemaman - Utusan Malaysia

Pas belum muktamad calon PRK Parlimen Kemaman

AHMAD Samsuri Mokhtar (tengah) bergambar bersama  penerima Watikah Pelantikan JPKK Penggal 1 Tahun 2023/2024 DUN Ru Rendang di Marang, hari ini. - UTUSAN/KAMALIZA KAMARUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARANG: Pas masih belum membuat keputusan muktamad berhubung calon yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman pada 2 Disember depan. 

Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, setakat ini, pucuk pimpinan Pas masih belum memutuskan calon yang akan menggalas tanggungjawab tersebut.

“Kita belum muktamad lagi (mengenai calon Pas). Tunggu malam 16 November lah, insya-Allah akan diumumkan nanti.

“Kita juga belum buat keputusan lagi (calon yang dipilih) dan masih lagi dalam pertimbangan.. Tengoklah dalam masa sehari dua lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan Watikah Pelantikan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Penggal 1 Tahun 2023/2024 Dewan Undangan Negeri (DUN) Ru Rendang di Dewan Majlis Daerah Marang, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, ditanya mengenai latar belakang calon yang akan dipertaruhkan Pas untuk mengekalkan kemenangan di Parlimen Kemaman itu, Ahmad Samsuri berkata, ia hanya akan didedahkan pada malam pengumuman nanti.

Malah, beliau juga masih berteka-teki mengenai desas desus yang semakin hangat diperkatakan ketika ini kononnya beliau turut tersenarai sebagai calon Pas di PRK Parlimen Kemaman.

“Calon anak tempatan ke, wallahu a’lam. Saya tak boleh sebut. Samalah di (PRK) Parlimen Kuala Terengganu dulu pun nama saya diuar-uarkan tapi tak dapat saya jadi calon. Tengoklah sehari dua lagi, Sabar menunggu,” katanya.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu, Che Alias menang dengan majoriti 27,179 undi dengan meraih 65,714 undi dalam pertarungan empat penjuru.

Alias berjaya menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Said yang meraih 38,535 undi dan dua calon lain iaitu calon Pakatan Harapan (PH), Hasuni Sudin yang mendapat 8,340 undi manakala calon Pejuang, Rosli Ab. Ghani hanya memperoleh 506 undian.

Sementera itu, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi hari ini mengumumkan bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed  Noor sebagai calon BN untuk bertanding dalam PRK Parlimen Kemaman. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya