PARLIMEN: Warden asrama ditambah elak kes buli

PARLIMEN: Warden asrama ditambah elak kes buli

Kementerian Pendidikan
FADHLINA SIDEK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sebanyak 63 peratus bilangan warden ditambah sejak 1 Ogos lalu dengan julat sekurang-kurang tiga orang di sebuah asrama sekolah.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, ia sebagai langkah untuk mencegah kes buli di samping beberapa kempen bagi meningkatkan kemahiran warden serta ketua warden dari semasa ke semasa.

Katanya, ia sesuai dengan tugas mereka seperti yang dinyatakan dalam Garis Panduan Tadbir Urus Sekolah (MySG).

“Selain itu, kementerian melaksanakan sistem rumah di asrama sebagai antara usaha menghasilkan modal insan yang mempunyai kecemerlangan ilmu, kemampanan sahsiah dan kesejagatan kepemimpinan serta melakukan program sahsiah unggul pelajar di sekolah menengah.

“Kami telah menjalankan semua program itu termasuk perkara yang dilaksanakan bawah Garis Panduan Intervensi Buli,di semua institusi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM),” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Dalam pada itu, Fadhlina berkata, KPM sentiasa memandang serius mengenai soal kebajikan dan keselamatan murid bawah kementerian itu, termasuk yang berkait isu berkenaan.

Bagi kes buli yang berlaku di sekolah, beliau berkata, mangsa serta pelaku dirujuk kepada Guru Bimbingan dan Kaunseling untuk sesi kaunseling, selain kementerian mempunyai pasukan bagi menangani isu terbabit.

“Guru Bimbingan dan Kaunseling akan melakukan intervensi bersesuaian bagi memastikan intervensi yang berkaitan kebajikan, keselamatan dan kesejahteraan murid, terjaga secara berterusan sebagai bentuk perlindungan sementara di sekolah untuk melindungi mangsa ketika siasatan dilakukan.

“Semua kes buli perlu dirujuk kepada pengetua untuk tindakan lanjut,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Dr Mohammed Taufiq Johari (PH-Sungai Petani) mengenai langkah kementerian mencegah masalah kesihatan mental dalam kalangan mangsa buli serta ibu bapa mereka melalui sesi kaunseling dan tempohnya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN