PETALING JAYA: Penurunan defisit tidak menjejaskan projek-projek merakyatkan ekonomi, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut Anwar, pengurangan defisit tidak semestinya melibatkan pengabaian kesejahteraan rakyat.
Malah, katanya, kerajaan melalui Belanjawa 2024 juga mengumumkan pelbagai bantuan bagi meringankan beban rakyat.
“(Misalnya) bantuan kepada pekebun kecil getah yang mana kali terakhir bantuan ialah semasa Bagan (Lim Guan Eng) berjumlah RM2.50 sen satu kilogram. Belanjawan 2023 kita naikkan RM2.70 dan tahun depan naik lagi RM3. Makananya dari RM2.50 ke RM3 untuk pekebun kecil getah.
“Harga lantai belian padi dinaikkan daripada RM1,200 kepada 1,300 ringgit per metrik tan.
“Jadi, ini tanda-tanda bahawa penurunan defisit tidak menjejaskan projek-projek merakyatkan ekonomi,” katanya ketika menggulung perbahasan peringkat dasar Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2024 di Dewan Rakyat.
Beliau berkata demikian ketika menjawab persoalan Ahli Parlimen yang mempersoalkan apa bukti kerajaan ini menyampaikan bantuan dan meringankan beban rakyat berikutan pengurangan defisit yang mendadak itu.
Antara intipati Belanjawan 2024 adalah defisit fiskal 2024 diunjurkan berkurangan kepada 4.3 peratus daripada sasaran 5.0 peratus pada tahun ini. -UTUSAN