Parlimen: Tabung Haji kawal peningkatan kos haji

Parlimen: Tabung Haji kawal peningkatan kos haji melalui kontrak jangka panjang 

tabung haji
MOHD. Na'im Mokhtar
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Haji (TH) memeterai perjanjian kontrak jangka panjang membabitkan beberapa perkhidmatan di Arab Saudi bagi mengelakkan harganya meningkat setiap tahun sebagai usaha mengawal peningkatan kos haji.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, perjanjian kontrak jangka panjang itu antara lain dimeterai dalam aspek penerbangan, penginapan dan sajian makanan.

“TH sentiasa peka dengan menyemak secara terperinci kos haji yang terkesan akibat peraturan dan cukai baharu yang diperkenalkan Kerajaan Arab Saudi.

“Melalui cara memeterai perjanjian kontrak jangka panjang, harga dapat ditetapkan untuk satu tempoh masa dan tidak dinaikkan setiap tahun,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Mohamad Shafizan Kepli (GPS-Batang Lupar) mengenai faktor yang menyumbang kepada peningkatan kos untuk mengerjakan haji, serta syarat dan kelayakan baharu ditetapkan.

Mohd. Na’im berkata, kadar bayaran haji dan bantuan kewangan haji akan diumumkan selepas perbincangan menyeluruh dibuat dengan mengambil kira keupayaan serta kedudukan kewangan TH.

Jelasnya, TH akan terus memberi bantuan kewangan untuk jemaah haji Muassasah yang berkelayakan.

Selain itu katanya, kenaikan kadar cukai tambah nilai di Arab Saudi daripada lima kepada 15 peratus bermula Julai 2020 juga adalah salah satu punca kenaikan kos yang agak ketara.

“Peningkatan kos haji tidak dapat dielakkan kerana ia terdedah kepada faktor di luar kawalan TH. Ini termasuk kadar inflasi dan percukaian di Arab Saudi, kadar tukaran mata wang ringgit berbanding riyal dan dolar.

“Ia juga membabitkan projek pembesaran berterusan di Mekah dan Madinah yang menyebabkan banyak bangunan penginapan jemaah haji dirobohkan dan memberi tekanan kepada pasaran harga sewaan,” katanya.

Katanya, terdapat juga caj dikenakan pihak berkuasa Arab Saudi bagi pelbagai perkhidmatan yang disediakan untuk kebajikan dan keselesaan jemaah haji di Tanah Suci.

Sementara itu, mengenai syarat dan kelayakan mengerjakan haji pada 1445H pula, katanya, ia sama seperti musim haji 1444H melainkan jika ada peraturan baharu yang dikuatkuasakan oleh Kerajaan Arab Saudi.

“Antaranya ialah tiada had umur ditetapkan oleh Kerajaan Arab Saudi bagi bakal jemaah haji yang ingin menunaikan haji,” katanya.

Mohd. Na’im berkata, bakal jemaah haji dinasihati mengambil suntikan vaksin tambahan membabitkan influenza dan pneumococcal di kemudahan kesihatan swasta dengan kos ditanggung sendiri.

Beliau berkata, setiap bakal jemaah haji juga perlu lulus pemeriksaan kesihatan dengan kriteria dan garis panduan kesihatan yang ditetapkan, sebelum dibenarkan berangkat ke Tanah Suci.

“Vaksin tambahan ini digalakkan kerajaan berikutan keadaan di Arab Saudi yang begitu panas, dan ia boleh berfungsi sebagai perlindungan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya