PARLIMEN: Penerima STR perlu kemas kini data, elak ketirisan

PARLIMEN: Penerima STR perlu kemas kini data, elak ketirisan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Individu yang layak menerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR)  diminta membuat permohonan segera manakala penerima sedia ada perlu mengemas kini data mereka.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, ia bagi memastikan individu yang benar-benar layak sahaja menerima sumbangan tersebut.

Dengan adanya data tersebut, beliau berkata, sumber kewangan negara juga dapat digunakan secara berhemah bagi mengelakkan sebarang ketirisan.

Sehubungan itu, katanya, pemakluman berhubung status kelulusan STR dan pembayaran STR akan dipastikan sampai kepada pemohon melalui tiga cara, antaranya penghantaran surat kepada penerima lulus berdasarkan alamat yang didaftarkan dalam pangkalan data STR.

“Kedua, hebahan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) ke nombor telefon penerima yang lulus yang berdaftar dalam pangkalan data STR, manakala ketiga semakan rasmi melalui portal rasmi STR di laman portal www.lhdn.gov.my ,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Mordi Bimol (PH-Mas Gading) berhubung kemudahan disediakan kerajaan bagi menyemak permohonan serta pengemaskinian STR khususnya bagi pemohon yang tidak celik teknologi maklumat, di Dewan Rakyat, hari ini.

Ahmad berkata, pengemaskinian maklumat atau permohonan baharu STR juga boleh dilakukan secara  berkelompok, menerusi agensi kerajaan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), pusat khidmat wakil rakyat dan persatuan penduduk yang mewakili komuniti setempat.

“Selain itu, kerajaan akan memperhebat program turun padang bersama pemimpin komuniti dan pelosok desa bagi memastikan STR dirasai seluruh rakyat Malaysia. Antara contoh yang sudah dibuat adalah  di Masjid Al-Falah Jengka 7, Kampung Perting Bentong dan Kampung Rancangan Batu 22, Tawau, Sabah.

“Untuk maklumat, pusat perkhidmatan wakil rakyat juga berperanan lebih luas dengan menjadi barishadapan dalam memastikan tiada individu yang tercicir melalui pembukaan kaunter bergerak untuk tujuan pendaftaran dan pengemaskinian secara berkelompok,” katanya. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya