PARLIMEN: Libatkan Singapura dalam kaji selidik air di Johor

PARLIMEN: Libatkan Singapura dalam kaji selidik air di Johor dedah keselamatan negara 

TUAN IBRAHIM TUAN MAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Wakil rakyat pembangkang bimbang berikutan tindakan kerajaan melibatkan Singapura dalam kaji selidik pengurusan sumber air di Johor yang didakwa berisiko mendedahkan isu keselamatan negara kepada pihak luar.

Ahli Parlimen Kubang Kerian, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, penglibatan Singapura dalam kaji selidik itu melampaui had kerana sumber air adalah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.

“Saya melihat ada keperluan untuk pihak kementerian (Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim) sama ada dalam bentuk makluman atau perbincangan untuk mendedahkan isu perjanjian air dengan Singapura, sebab ia makan masa 100 tahun dan beri kesan besar kepada negara.

“Ada dua perkara. Pertama membabitkan perjanjian dan keduanya, dalam kenyataan dibuat Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim), beliau mencadangkan Singapura dibabitkan sama dalam kaji selidik pengurusan sumber air di Johor.

“Saya fikir ini sudah melampaui, melebihi had, sedangkan sumber air bidang kuasa negeri. 

“Jika didedahkan kaji selidik ini, ia isu keselamatan negara. Sepatutnya pihak luar tidak dilibatkan dalam kajian pengurusan sumber air di setiap negeri sebab ia membabitkan keselamatan negara,” katanya dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian dalam celahan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad semasa menggulung perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2024 bagi kementerian itu.

Sementara itu, Nik Nazmi berkata, penglibatan Singapura dalam kaji selidik untuk melihat keupayaan membesarkan sungai dan kapasiti pengeluaran air di Johor tidak menggadaikan kepentingan negara.

Katanya, tiada masalah dengan perjanjian itu kerana matlamatnya melihat jalan penyelesaian terbaik antara kedua-dua pihak.

“Kita rasa tidak ada masalah dengan beberapa aspek perjanjian berkenaan. Kita mahu lihat semua perjanjian dan melihat apa solusi terbaik. Ia bukan mudah sebab membabitkan dua pihak. 

“Sebelah pihak, air mentah itu (dijual) ada harga murah. Pada masa sama, Johor juga ada ambil air yang diproses dari Singapura. Kalau ikut perjanjian asal, ada had. Jika lebih (dijual) pada harga lebih tinggi lagi, tetapi sekarang ada tolak ansur yang mana Johor dibenar ambil pada jumlah lebih tetapi pada kadar murah.

“Dalam keadaan itu, sebab itulah kita juga melihat Johor juga mempunyai keperluan air yang sangat tinggi. Maka, perlu untuk kita mencari satu penyelesaian menyeluruh mengenai perkara ini,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya