KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat hari ini kecoh apabila RSN Rayer (PH-Jelutong) menimbulkan kontroversi berhubung kenyataan Siti Mastura Mohamad (PN-Kepala Batas) sebelum ini tentang bekas Perdana Menteri Singapura, mendiang Lee Kuan Yew dengan gerakan komunis.
Rayer mendakwa ‘keceluparan’ Siti Mastura menyebabkan ramai peniaga Malaysia-Singapura mengeluh dan bimbang produk yang diusahakan mereka akan dipulaukan rakyat di Singapura.
Bagaimanapun, Rayer mengambil langkah bijak dengan tidak menyebut nama mana-mana ahli parlimen ketika membahaskan perkara itu.
“Saya ingin tanya, adakah kenyataan seorang ahli parlimen yang dibuat baru-baru ini yang mengaitkan Lee Kuan Yew dengan komunis akan menyebabkan apa-apa masalah atas usaha yang telah dilaporkan (kerajaan) ekoran keceluparan ahli parlimen ini mungkin menyebabkan perniagaan dua hala di antara Singapura dan Malaysia ini (akan terjejas).
“Kalau boleh saya ingin bertanya kepada menteri bagaimana kita boleh mengatasi masalah ini (kesan kenyataan ahli parlimen terbabit) supaya produk-produk Malaysia terutama yang disediakan oleh SME Corp diterima oleh Singapura,” katanya ketika membahaskan rang undang-undang perbekalan belanjawan berkenaan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi di Dewan Rakyat.
Mastura bagaimanapun dilhat mulai ‘panas’ dan menggunakan peraturan mesyuarat (standing order) supaya Rayer menarik balik kenyataan tersebut.
“Saya mohon kepada Jelutong (Rayer) untuk menarik (balik) perkara tersebut.
“Saya telah memberi keterangan (kepada polis) dan belum ada apa-apa keputusan lagi. Jadi saya mohon kepada Jelutong untuk tarik balik kenyataan tersebut,” katanya.
Namun, Rayer menyanggah kembali Mastura dengan menegaskan beliau tidak menyebut sebarang nama dan hanya wakil rakyat berkaitan sahaja akan ‘pedas’ akan tindakannya itu.
“Jangan perasan, sila duduk. Siapa yang makan cili, rasa pedas dan duduk saya tak sebut (nama) Kepala Batas,” ujarnya.
Baru-baru ini Siti Mastura mengaitkan Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng dengan Kuan Yew.
Dia juga mendakwa Kit Siang dan Guan Eng memiliki hubungan kekeluargaan dengan bekas setiausaha agung Parti Komunis Malaya, Chin Peng. – UTUSAN