KUALA LUMPUR: Kementerian Pengangkutan dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sedang mempertimbang hala tuju baharu berhubung unit kamera Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (Awas).
Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah berkata, kerajaan melaksanakan penambahbaikan memasang kamera Awas di lokasi yang mempunyai kadar kemalangan tinggi.
“Ini bagi mengurangkan risiko kemalangan yang berpunca daripada ketidakpatuhan kepada peraturan jalan raya khususnya melibatkan kesalahan memandu melebihi had laju.
“Ini disokong dengan kajian yang dijalankan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros).
“Institut ini mendapati tahap pematuhan pengguna jalan raya kepada peraturan had laju dan isyarat lalu lintas di lokasi pemasangan kamera tersebut adalah mencecah 99 peratus secara keseluruhannya,” katanya pada sesi Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian menjawab soalan Datuk Suhaimi Nasir [BN-Libaran] berhubung status terkini cadangan menambah dan menggantikan unit kamera Awas.
Dalam pada itu, katanya, sebanyak 45 kamera Awas atau dahulunya dikenali sebagai Automated Enforcement System (AES) yang sedang beroperasi dan dikuatkuasakan.
Katanya, 44 kamera sedang beroperasi sepenuhnya, manakala satu kamera sedang dalam proses pembaikan dan penyelenggaraan berpunca daripada kemalangan jalan raya. – UTUSAN