Hampir 10,000 kes buli direkod dalam tempoh tiga tahun

Parlimen: Hampir 10,000 kes buli direkod dalam tempoh tiga tahun

LIM Hui Ying menjawab soalan pada sesi Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat hari ini. FOTO: JABATAN PENERANGAN MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sebanyak 9,207 kes buli direkodkan di seluruh negara hanya dalam tempoh tiga tahun bermula 2021 hingga Oktober 2023. 

Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying berkata, bagi tahun 2023 sehingga setakat Oktober lalu, sebanyak 4,994 kes buli direkod; 2022 (3,887 kes) dan 2021 (326 kes). 

“Kesemua kes ini sudah dijalankan siasatan dan tindakan susulan diambil terutama dari aspek bimbingan dan kaunseling. 

“Untuk makluman, kes buli melibatkan banyak pihak, bukan hanya melibatkan ibu bapa, malah penglibatan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti setempat juga amat diperlukan,” katanya pada sesi Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik [PH-Balik Pulau] berkenaan kes buli yang direkod setakat ini.

Beliau sebelum itu meminta kerajaan menyatakan usaha diambil kementerian bagi mengatasi isu buli di sekolah yang semakin berleluasa. 

Hui Ying berkata, antara usaha diambil, KPM mengadakan kerjasama dengan Polis Diraja Malaysia melalui Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) menyaksikan setiap sekolah menengah dan sekolah rendah mempunyai seorang PPS yang mendampingi dan bekerjasama dengan pihak sekolah. 

Katanya, KPM juga menyediakan saluran pelaporan bagi membolehkan pihak sekolah melaporkan kes buli melalui portal aduan buli.

“KPM melancarkan Garis Panduan Pengurusan Salah Laku Buli Di Institusi Pendidikan yang menjadi rujukan kepada semua pihak berkepentingan di institusi pendidikan dalam menjelaskan kefahaman tentang salah laku buli, implikasinya serta peranan dalam pengurusan salah laku buli. 

“Antara tindakan yang perlu diambil oleh pihak sekolah juga adalah mengadakan peti aduan di sekolah dan asrama, mengukuhkan Jawatankuasa Disiplin Sekolah dan Asrama serta mengambil tindakan dan menghukum murid yang melakukan perbuatan buli di sekolah atau asrama. 

“Jawatankuasa anti buli telah diwujudkan di setiap Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) melalui Jawatankuasa Menangani Gejala Disiplin Negeri,” katanya. 

Sementara itu, Hui Ying juga berkata, KPM akan menambah bilangan guru bimbingan dan kaunseling jika didapati kes buli meningkat pada masa akan datang. 

Beliau terdahulu menjawab soalan tambahan Dr. Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi [PN-Kuala Kedah] berhubung perkara itu. 

“Ya, kerajaan akan menambah bilangan guru bimbingan dan kaunseling,” katanya. –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya