Parit berbau gas, penduduk tidur pakai pelitup muka - Utusan Malaysia

Parit berbau gas, penduduk tidur pakai pelitup muka

Parit berbau
ZAHARI Idris menunjukkan parit yang hitam dan berbau di Jalan Haji Abdul Wahid, Bukit Kapar, Klang hari ini. - UTUSAN / ISKANDAR SHAH MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Penduduk Taman Desa Baiduri, Bukit Kapar di sini, terpaksa tidur dengan berpelitup muka selepas parit berdekatan rumah mereka bertukar hitam dan berbau seperti gas hari ini.

Kejadian itu disedari kira-kira pukul 12 tengah malam tadi selepas kawasan berkenaan berbau busuk dan memualkan.

Penduduk, Zahari Idris, 58, berkata dia pada awalnya menyangka bau seakan kebocoran gas itu berpunca pendawaian elektrik.

“Namun, saya bersama isteri dan empat anak tidak mengesyaki apa-apa dan tidur dengan memakai pelitup muka. Sewaktu keluar rumah pukul 7 pagi tadi, saya terkejut mendapati bau itu daripada parit yang berada kira-kira tujuh meter,” katanya ketika ditemui petang ini.

Terdahulu, kejadian melibatkan parit di Jalan Haji Abdul Wahid itu tular di media sosial dan turut berada berdekatan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Kapar serta beberapa perumahan lain.

Tambah Zahari, kejadian itu kali pertama berlaku sepanjang menetap di taman tersebut ejak empat tahun lalu.

“Punca sebenar pencemaran itu tidak diketahui dan penduduk mula berasa tidak selesa dengan keadaan tersebut. Jika dilihat keadaan air parit itu, ia seperti minyak yang mengalir ke parit utama,” ujarnya.

Bagi penduduk, Meor Yasri Ilman Meor Ahmad, 33, dia kesal dengan pencemaran itu apatah lagi terletak berdekatan dengan kawasan kediaman.

“Saya turut terjaga daripada tidur kerana tidak tahan dengan bau busuk yang meloyakan tekak dan memeningkan kepala. Selain itu, saya bimbang bai itu turut melekat pada pakaian yang dijemur di luar rumah,” jelasnya.

Seorang peniaga, Nasruddin Shahrom, 35, berkata, pencemaran itu hanya disedarinya selepas mengambil anak pulang ke sekolah tengah hari tadi.

“Parit itu tidak pernah dicemari sebarang sisa toksik sejak saya berniaga di kawasan ini tiga tahun lalu. Saya berharap pihak berkuasa mengambil tindakan segera bagi memastikan pihak yang melakukan pencemaran dikenakan tindakan tegas,” luahnya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor, Nor Aziah Jaafar ketika dihubungi mengesahkan menerima maklumat mengenai kejadian berkenaan dan siasatan lanjut sedang dijalankan secara menyeluruh. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya