KUALA LUMPUR: Cadangan memaparkan nama wakil rakyat yang didapati ‘ponteng’ dengan sengaja pada sidang Parlimen di laman web tertakluk kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau akan membiarkan perkara tersebut kepada Tan Sri Johari Abdul.
“Saya rasa mengenai perkara tersebut saya akan serahkan kepada perbincangan Speaker Dewan Rakyat,” katanya kepada media selepas melancarkan Ekspo Digital Malaysia (MDX) 2023 di Pusat Pameran Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC).
Turut hadir Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil dan Timbalannya, Teo Nie Ching.
Terdahulu media melaporkan, Ahli Parlimen yang didapati ‘ponteng’ itu akan dipaparkan di laman web Dewan Rakyat dalam tempoh terdekat.
Johari berkata, perkara itu merupakan antara penambahbaikan yang akan dilaksanakan bagi meningkatkan kehadiran Ahli Parlimen dalam sidang Dewan Rakyat kerana mereka mempunyai tugas dan tanggungjawab terhadap pengundi dan kawasan Parlimen yang diwakili.
”Kita akan pantau Ahli Parlimen yang selalu menghilangkan diri, walaupun saya tidak ada kuasa untuk mengambil tindakan terhadap mereka, tetapi usaha-usaha sedang dijalankan terhadap mereka yang tidak hadir.
“Kita akan naikkan nama mereka (yang tidak hadir sidang Dewan Rakyat) di dalam laman web, ia akan berikan peluang kepada masyarakat yang memilih mereka bertanya ke mana Ahli Parlimen berkenaan menghilangkan diri,” katanya.
Walau bagaimanapun Utusan Malaysia melaporkan, ahli-ahli Parlimen sama ada blok kerajaan dan pembangkang menyifatkan tindakan mendedahkan nama-nama individu yang sengaja ponteng itu sebagai sama seperti layan kepada budak sekolah.
Kata mereka, tindakan tersebut tidak wajar dilakukan kerana peranan wakil rakyat bukan sahaja hadir ke sidang mesyuarat tetapi juga merangkumi tugas besar terhadap pengundi dan kawasan dalam Parlimen yang diwakili.
Namun Ketua Pemuda UMNO, Dr. Muhamad Akmal Saleh menggesa mereka yang tidak bersetuju perkara tersebut didedahkan maka Ahli-Ahli Parlimen perlu menunjukkan contoh lebih baik daripada pelajar sekolah.
Katanya, semua pelajar sekolah wajib ke sekolah kerana tanggungjawab dan perkara sama berlaku dilakukan ahli-ahli Parlimen untuk hadir sidang Dewan Rakyat. – UTUSAN