Papagomo diarah jawab saman Fahmi 

Papagomo diarah jawab saman Fahmi 

PAPAGOMO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini memerintahkan penulis blog Wan Muhammad Azri Wan Deris atau  ‘Papagomo’ memasukkan kehadiran atau menyatakan hasrat untuk menjawab saman dikemukakan terhadapnya oleh Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil. 

Fahmi selaku plaintif menyaman bekas Exco Pemuda UMNO itu pada 5 September lalu berhubung dakwaan kononnya Ahli Parlimen Lembah Pantai itu memberikan ceramah politik di sebuah masjid di Rawang, Selangor.

Timbalan Pendaftar Aisyaf Falina Abdullah selepas sesi pengurusan kes hari ini memerintahkan Papagomo memasukkan kehadiran dalam tempoh 14 hari sehingga 5 Disember ini.

Peguam Asheeq Ali Sethi Alivi yang mewakili Fahmi memberitahu wakil media, Mahkamah Tinggi pada 6 November lalu memerintahkan supaya saman itu dikemukakan melalui penyampaian ganti kerana writ saman tidak dapat diserahkan kepada Papagomo.

Beliau berkata, susulan itu saman terbabit diserahkan kepada defendan melalui pemakluman penyampaian ganti iaitu dalam akhbar pada hari ini. 

Katanya, mahkamah kemudian menetapkan pada 8 Disember ini bagi pihak plaintif memaklumkan sama ada defendan sudah memasukkan kehadiran atau sebaliknya.

Selain Papagomo, Fahmi turut menyaman penceramah bebas, Ahmad Dusuki Abd. Rani dan  pemilik akaun Facebook ‘N13 Kuang’, Mohd. Fauzan Madzlan selaku defendan.

Melalui satu hantaran dalam laman Facebooknya hari ini, Fahmi berkata peguam beliau sudah cuba untuk menghubungi Papagomo sejak beberapa bulan lalu, berkait kenyataan berbaur fitnah terhadapnya sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) Ogos lalu.

Dalam pernyataan tuntutan, Fahmi mendakwa ketiga-tiga defendan menyiarkan kata-kata fitnah yang mendakwa plaintif menyalahgunakan tempat beribadah iaitu masjid bagi tujuan kempen pilihan raya dan bertindak bertentangan dengan titah dan perintah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor.

Dakwanya, kata-kata fitnah itu disiarkan dalam akaun TikTok dan Facebook Wan Muhammad Azri pada 1 Ogos, manakala di akaun Facebook milik Mohd. Fauzan serta akaun Facebook dan Instagram milik Ahmad Dusuki pada 31 Julai lalu.

Menurut Fahmi, kenyataan fitnah itu tidak berasas dan pihak Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) sudah mengesahkan bahawa beliau sama sekali tidak memberikan ucapan berbaur politik seperti mana yang difitnah oleh defendan.

Beliau turut mendakwa, kenyataan fitnah itu dibuat bertujuan memburukkan nama baiknya demi mendapatkan publisiti murahan atau mewujudkan sensasi dalam arena politik negara selain menjejaskan reputasinya sebagai Ahli Parlimen dan Menteri Kabinet.

Katanya, pihaknya sudah menghantar surat tuntutan bagi ketiga-tiga individu itu menarik balik kenyataan fitnah berkenaan, membayar ganti rugi dan menyiarkan permohonan maaf kepada plaintif, namun sehingga kini mereka gagal berbuat demikian.

Oleh itu, plaintif menuntut antaranya ganti rugi am, ganti rugi teruk atau teladan, dan perintah injunksi bagi menghalang semua defendan daripada mengulangi atau menyebabkan penerbitan semula kenyataan fitnah itu. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN