Palestin-Israel: Pemimpin utama negara Islam bakal bertemu - PM

Palestin-Israel: Pemimpin utama negara Islam bakal bertemu – PM

ANWAR Ibrahim ketika perjumpaan Perdana Menteri Bersama Warga JPM, Putrajaya. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan beberapa pemimpin utama negara Islam bakal mengadakan pertemuan dalam masa terdekat bagi membincangkan konflik Palestin-Israel yang disifatkan amat merunsingkan kerana masih belum ada petanda Israel akan menghentikan serangan.

Perdana Menteri berkata, beliau sudah pun menghubungi pemimpin negara Arab termasuk Turkiye dan Iran bagi mengadakan perbincangan ekoran tindakan Israel yang secara berterusan mengembangkan wilayahnya setiap tahun dengan menggunakan alasan Hamas.

“Kita telah hubungi pemimpin Arab termasuk Turkiye dan Iran untuk mengadakan perbincangan antara kami.

“Mulanya, saya juga usulkan jangan hanya dalam kalangan pemimpin Islam (untuk sama-sama berbincang) kerana Brazil, Ireland, Rusia, China dan Bolivia juga mempunyai pendirian untuk pertahan hak kemanusiaan.

“Tetapi setelah berbincang dengan Putera Mohammed Salman (Putera Mahkota Arab Saudi) dan Recep Tayyip Erdogan (Presiden Turkiye), keputusannya ialah kita mengadakan segera untuk pertemukan pemimpin negara Islam,” katanya ketika perjumpaan Perdana Menteri Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri di sini hari ini.

Anwar pada masa sama turut menyifatkan konflik tercetus di Palestin menterjemahkan situasi positif apabila insiden kemanusiaan itu dibahas secara terbuka di dunia barat seperti penganjuran perhimpunan atau tunjuk perasaan.

Menurut beliau, Perdana Menteri Belanda, Mark Rutte dalam satu pertemuan empat mata bersama beliau ketika kunjungan ke Malaysia baru-baru ini turut menjelaskan keadaan di mana sokongan rakyat negara itu kepada Palestin terus meningkat sejak dua minggu lalu.

“Dalam pertemuan empat mata itu, saya luahkan kepada Mark Rutte bahawa pandangan beliau lebih demokratik dan prihatin dengan kemanusian, jadi janganlah memilih untuk prasangka (kepada satu-satu) kaum.

“Beliau mahu menyokong Israel itu haknya, tapi janganlah kejam kepada Palestin. Tetapi, perkara menarik dia jelaskan ialah di peringkat awal serangan, dua pertiga rakyat Belanda pro-Israel, namun dua minggu lalu, dua pertiga secara terbuka nyatakan sokongan kepada Pelestin.

“Jadi, kita sedaya upaya dalam perbincangan itu sampaikan dengan baik dan minta beliau untuk sampaikan kepada pemimpin Eropah lain juga (soal konflik Palestin-Israel),” katanya.

Anwar berkata, hasrat yang sama berhubung pendirian isu Palestin turut disampaikan kepada Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida ketika kunjungan rakan sejawatnya ke negara ini semalam dengan membuat perbandingan tentang bantahan rakyat jika ada pihak lain mahu menakluki beberapa wilayah di Jepun.

“(Saya sebut) kalau satu wilayah di Osaka atau Hiroshima ditakluki orang lain, apa saudara harap orang di Osaka dan Hiroshima berdiam diri? tentunya dia bantah. (Seperti) itu lah yang berlaku di Palestin.

“Saya juga kata, bom yang dilemparkan di Gaza adalah jauh lebih buruk kesannya di Hirohshima (ketika Perang Dunia Kedua), Jadi saya kata kepada Kishida, tentunya anda rasakan sampai sekarang apa berlaku di Hiroshima, jadi harus jua merasakan (di Palestin).

“Jadi dia jawab dengan tegas masih sokong supaya menghentikan serangan dan ditambah peruntukan bantuan kemanusiaan,” katanya.

Anwar turut memberitahu, pertemuan empat mata bersama Abdel Fattah El-Sisi sebelum ini membuahkan hasil apabila Presiden Mesir itu berpegang kepada janji untuk memberi keutamaan kepada Malaysia jika ada penyaluran bantuan kemanusian ke Gaza.

“Beliau pegang pada janji, pesawat kita sampai antara paling cepat dan memberi layanan dan membolehkan cepat menyeberang di sempadan, sebab itu (pentingnya) hubungan dua hala ditingkatkan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya