Orang Asli ketakutan gajah muncul di Pos Blau

Orang Asli ketakutan gajah muncul di Pos Blau

gajah
Seorang lelaki Orang Asli maut dipijak gajah di Gerik semalam. - Gambar Hiasan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Lebih 70 penduduk Orang Asli suku kaum Temiar di Kampung Kelaik, Pos Blau di sini bertempiaran lari selepas seekor gajah liar dewasa muncul di halaman rumah mereka petang semalam. 

Dalam kejadian pukul 5 petang itu, penduduk yang tinggal di 24 buah rumah di perkampungan tersebut melarikan diri menuju ke jalan Gua Musang-Lojing untuk menyelamatkan diri. 

Seorang penduduk, Uda Busu, 42, berkata, gajah tersebut muncul buat pertama kalinya di kampung itu kelmarin dengan merosakkan tanaman penduduk.

Katanya, selang sehari,  gajah berkenaan muncul di halaman rumah dan menghampiri sekumpulan kanak-kanak yang sedang bermain di kawasan rumah petang semalam.

“Seorang bayi berusia sembilan bulan merupakan antara lebih 70 penduduk yang diselamatkan selepas melihat seekor gajah liar dewasa menceroboh kawasan kampung. Kami semua lari meninggalkan rumah dan menunggu di tepi jalan kerana risau gajah tersebut naik minyak.

“Kami tunggu sehingga benar-benar yakin gajah itu kembali ke hutan dan balik ke rumah semula kira-kira pukul 3 pagi tadi. Kami dapati sisa makanan dan kuali dari dua buah rumah berselerak di atas tanah dipercayai angkara gajah terbabit,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini. 

Sementara itu, Penghulu Pos Blau, Salleh Angah, 60, pula berkata, dia berharap isu ini dapat ditangani segera oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk menjamin keselamatan penduduk yang berdepan dengan ancaman haiwan liar tersebut. 

“Kami harap pihak Perhilitan dapat melakukan satu tindakan jangka masa panjang bagi meredakan kebimbangan penduduk kerana gajah tersebut mungkin akan bergerak ke perkampungan lain.

“Sebelum ini, gajah sudah muncul di jalan raya menuju Pos Blau. Penduduk di sini mahu pihak berwajib memindahkan atau menghalau haiwan tersebut ke kawasan lain supaya ia tidak lagi muncul di kawasan kampung Orang Asli,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Perhilitan Kelantan, Mohamad Hafid Rohani mengesahkan pihaknya sudah menerima laporan mengenai kejadian tersebut.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya