Orang Asli boleh berdepan konflik jika ubah suai KSAS

Orang Asli boleh berdepan konflik jika ubah suai KSAS

NIK Nazmi Nik Ahmad (tiga kanan) semasa menerima serahan memorandum di pusat Rancangan Pengumpulan Semula (RPS) Kuala Betis, Gua Musang, Kelantan, kelmarin. -UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Masyarakat Orang Asli Kelantan membantah tindakan Kerajaan Kelantan yang mahu melaksanakan cadangan perubahan pengubahsuaian Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS) melibatkan lokasi seluas 514,898 hektar di sini.

Pengerusi Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan (JKOAK), Mustafa Along berkata, sekiranya cadangan itu dilaksanakan, mereka menerima padah dalam jangka masa panjang.

“Paling membimbangkan pihak kami adalah hutan yang menjadi habitat hidupan liar menjadi semakin kecil.

“Situasi ini boleh menyebabkan kami berdepan konflik antara manusia dan hidupan liar sepertimana berlaku di Kampung Sau, Pos Bihai dan Pos Pasik apabila ada Orang Asli dibaham harimau,” katanya di sini di sini, semalam.

Mustafa memberitahu, susulan itu JKOAK bersama wakil Orang Asli menyerahkan memorandum kepada Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad di pusat Rancangan Pengumpulan Semula (RPS) Kuala Betis, kelmarin.

Sementara itu, seorang penduduk Orang Asli Kampung Ber, Nasir Dollah, 36, berkata, sekiranya pelan KSAS diubah, penempatan Orang Asli di Tanah Tinggi Lojing terancam dengan aktiviti penerokaan hutan bagi tujuan komersial.

Katanya, penerokaan tanah berskala besar ketika ini telah memberi kesan kepada kelangsungan hidup Orang Asli di kawasan berkenaan.

Sebelum ini, Kerajaan Negeri Kelantan pada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) kali ke-22/2020 pada 21 Oktober 2020 memutuskan supaya kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK), kecuali kawasan punca air atau tadahan air, tidak lagi diklasifikasikan sebagai KSAS.

Pelaksanaan keputusan itu masih dalam peringkat draf Pengubahan Rancangan Pemajuan di Kelantan, iaitu Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) Kelantan sedang melaksanakan Program Publisiti dan Penyertaan Awam mulai 11 Oktober 2023 hingga 11 November 2023.

Sementara itu, Timbalan Menteri Besar Datuk Dr. Mohamed Fadzli Hassan berkata, kerajaan negeri akan mengadakan pertemuan Nik Nazmi berhubung isu itu.

“Untuk maklumkan, kita (kerajaan negeri) sebelum ini sudah memberikan maklumat lengkap secara bertulis berkait perkara tersebut. Saya lihat salah faham berkait dengan perkara tersebut,” katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Temangan itu memberitahu, kerajaan negeri tidak membatalkan kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK) dan semua pihak perlu memahami serta membezakan perkara tersebut.

Sebelum itu, Mohamed Fadzli memaklumkan cadangan pengubahsuaian KSAS di Kelantan masih pada peringkat program pendengaran awam (publisiti dan penyertaan awam) yang bermula 11 Oktober hingga 11 November ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya