Ops Ihsan ke Mesir buka hab, beli barang mentah untuk Gaza

Ops Ihsan ke Mesir buka hab, beli barang mentah untuk Gaza

KERJA memuatkan barang bantuan ketika Majlis Pelepasan Penghantaran Kedua Bantuan Kemanusiaan Ops Ihsan ke Gaza Palestin di Terminal Kargo KLIA. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Pasukan misi kemanusiaan Ops Ihsan berhasrat mewujudkan sebuah hab operasi di Kaherah, Mesir untuk kerja-kerja penyelarasan penghantaran bantuan terus ke Gaza.

Pengerusi Sekretariatnya, Jismi Johari berkata, premis khas tersebut akan diurus selia oleh pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari negara ini yang bernaung di bawah Ops Ihsan.

“Insya-Allah kami akan terbang ke sana pada minggu depan untuk memastikan segala perancangan dapat dilakukan dengan lancar,” katanya ketika ditemui pemberita di sini selepas menyaksikan majlis perlepasan misi bantuan kemanusiaan kedua Ops Ihsan di terminal kargo, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini malam tadi.

Mengulas lanjut, Jismi berkata, pasukan Ops Ihsan juga dijangka membeli lagi pelbagai barangan keperluan di Kaherah antaranya tepung gandum, minyak masak dan air mineral.

“Langkah ini dilihat lebih ekonomi berbanding jika dihantar dari Malaysia kerana bahan tersebut memang sudah ada di Mesir dan boleh diperoleh mudah secara pukal,” jelasnya.

Beliau turut memberi jaminan bahawa kesemua barangan yang dikumpul pasukan itu hasil sumbangan rakyat Malaysia pada bulan lepas adalah selamat dan memenuhi keperluan.

Malah ujarnya, tarikh luput segala bahan makanan seperti biskut, kurma, susu tepung dan makanan dalam tin serta produk sedia dimakan terus adalah November 2024 dan ke atas.

Begitu juga keperluan kanak-kanak seperti pakaian, makanan bayi dan susu formula yang tarikh akhir penggunaannya itu dipastikan adalah lebih daripada November tahun depan.

Secara keseluruhan tambah Jismi, pasukan itu berjaya mengumpul barangan seberat 50 tan bernilai RM7 juta dengan penghantaran pertama bahan perubatan melibatkan 20 tan.

Baki 10 tan lagi ujar beliau, masih dalam perbincangan tarikh yang sesuai dan pihaknya menjangka kemungkinan bantuan berkenaan dihantar ke Mesir menerusi kapal kontena. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya