Operasi JPJ hanya pastikan pengguna patuhi peraturan jalan raya

Operasi JPJ hanya pastikan pengguna patuhi peraturan jalan raya

MOHD. Edir Sanip (tengah) bersama Hasrunizah Hassan (dua dari kanan) melihat murid-murid melakukan aktiviti berkaitan undang-undang jalan raya di SK Ayer Baloi, di Pontian.-UTUSAN / MUHAMMAD ZIKRI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Johor menegaskan operasi penguatkuasaanya bukan untuk menyusahkan pemilik kenderaan sebaliknya memastikan mereka mematuhi peraturan jalan raya.

Timbalan Pengarah JPJ Johor, Mohd. Edir Sanip berkata, pemilik kenderaan tidak perlu takut dan bimbang semasa pemeriksaan dilakukan jika mereka  mematuhi segala peraturan jalan raya.

Katanya, sepanjang dua bulan lalu, sebanyak 30,000 buah kenderaan pelbagai jenis diperiksa, di mana 13,000 dikenakan tindakan saman kerana gagal mematuhi peraturan jalan raya.

“Antara kesalahan utama ialah tiada lesen memandu, cukai jalan tamat tempoh, tiada perlindungan insurans selain kesalahan teknikal lain seperti membawa muatan yang lebih dan pengubahsuaian kenderaan.

“Selain tidak memakai tali pinggang keledar, kesalahan lain adalah tidak memakai topi ketika menunggang motosikal, menggunakan telefon bimbit ketika memandu, melanggar lampu isyarat dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada  Hari Keusahawanan dan Perasmian Sekolah Angkat JPJ Johor di Sekolah Kebangsaan ( SK ) Ayer Baloi  yang dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri ( ADUN ) Pulai Sebatang, Hasrunizah Hassan.

Turut hadir pada majlis itu ialah Guru Besar SK Ayer Baloi,  Mohd. Zeki Ibrahim.

Terdapat sembilan belas buah sekolah di negeri Johor dipilih menjadi Sekolah Angkat kepada JPJ dengan tujuan ‘melentur buluh biar dari rebungnya’ dan mendidik mereka mengenai aspek keselamatan jalan raya.

Tambah Mohd. Edir, masyarakat  tidak sewajarnya menuding jari kepada pihaknya ( JPJ )  sekiranya terdapat operasi pemeriksaan ke atas orang ramai dijalankan di kawasan mereka.

“Biasanya orang yang takut  dan bising dengan kami adalah mereka yang tidak mematuhi peraturan jalan raya termasuk pemandu kenderaan barat yang baru-baru ini membuat bantahan kepada JPJ.

“Secara asasnya, semua pihak perlu mematuhi peraturan jalan raya yang ditetapkan kerana tindakan mereka yang mengambil ringan mengenainya boleh memberikan kesan kepada pengguna yang lain,” ujarnya.

Sementara itu, ADUN Pulai Sebatang, Hasrunizah Hassan berkata, pihaknya menyambut baik usaha JPJ Johor bagi memberikan pendedahan  awal  kepada pelajar-pelajar berkaitan isu keselamatan jalan raya.

Katanya,  soal peraturan jalan raya perlu diberikan perhatian oleh semua pihak termasuk kepada ibu bapa yang menghantar dan mengambil anak-anak mereka di sekolah pada setiap hari.

Menurut Hasrunizah, pendidikan di peringkat sekolah rendah dan pra sekolah akan dapat memberikan mereka lebih pengetahuan  mengenai peraturan jalan raya sebelum memasuki sekolah menengah.

“Usaha yang dilakukan oleh JPJ Johor  ini cukup baik dan dapat memberikan kesedaran pentingnya mematuhi peraturan jalan raya yang  boleh diterapkan ketika mereka dewasa nanti,” katanya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya