CYBERJAYA: Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah bertekad untuk mengangkat pendidikan penjagaan kesihatan di peringat universiti atas kapasiti baharunya sebagai Canselor Universiti Cyberjaya.
Beliau berkata, halangan utama aspek penjagaan kesihatan pada ketika masyarakat semakin terdidik tentang perkara itu ialah kekurangan doktor terlatih, pekerja mahir dan pakar dalam bidang itu.
Katanya, perkara itu turut menjadi fokus beliau
dalam menganggotai Kumpulan Penasihat Teknikal, Liputan Kesihatan Universal di rantau Pasifik Barat, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk menyelaraskan pendidikan perubatan dan latihan pelajar perubatan di universiti dengan membuat perubahan besar dalam sistem kesihatan dan negara anggota.
“Universiti adalah rumah kepada semua graduan bukan sahaja dalam kalangan pelajar perubatan tetapi menyokong industri penjagaan kesihatan di negara ini.
“Setiap daripada mereka dalam apa sahaja bidang semuanya akan memastikan manusia kekal selamat dan sihat, melalui komunikasi dan pelaksanaan teknologi yang berkesan kerana setiap sektor adalah sektor kesihatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama ulung sebagai Cancelor Universiti Cyberjaya dalam majlis Konvokesyen Ke-13, di sini hari ini.
Noor Hisham berkata, sebagai sebuah institusi yang mempunyai tradisi memupuk minda anak muda untuk masa depan lebih baik, beliau berharap dapat melakukan yang terbaik untuk memartabatkan dan memperkukuh tradisi itu.
Katanya, graduan universiti ini bukan sahaja harus berpendidikan dan berkemahiran tetapi juga disemai dengan semangat etika, belas kasihan dan komitmen yang mendalam untuk kemajuan masyarakat.
“Saya berharap dapat menjadi sebahagian daripada perjalanan Universiti Cyberjaya dan tidak sabar untuk melibatkan diri dengan badan pelajar dan mendengar aspirasi serta kebimbangan mereka.
“Impian dan cita-cita anda adalah penggerak di sebalik universiti ini, dan saya akan berada di sini untuk menyokong sebaik mungkin. Marilah kita memulakan perjalanan baharu ini bersama-sama dengan harapan, semangat, dan komitmen terhadap nilai dan aspirasi Universiti Cyberjaya,” katanya. – UTUSAN