PUTRAJAYA: Pengeluar minyak dan gas dari negara-negara Islam diminta tidak lagi membekalkan bahan api itu kepada Israel dan sekutunya termasuk Amerika Syarikat dan Eropah.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, gesaan itu penting bagi menekan Israel yang kini rakus melakukan pembunuhan besar-besaran terhadap rakyat Palestin.
Beliau berkata, ketika ini, semua pihak termasuk masyarakat dunia tidak perlu lagi melaungkan retorik, kritikan dan mengecam tindakan Israel, sebaliknya tindakan fizikal perlu dilakukan segera.
“Ia termasuk sekatan ekonomi, tindakan boikot terhadap produk yang menyokong Israel dan sekatan bekalan minyak dan gas.
“”Allah SWT mengurniakan begitu banyak sumber minyak kepada negara-negara Islam tetapi kita boleh nafikan bekalan agar mereka merasai kesannya,” katanya dalam sidang akhbar ‘Hentikan Sekatan Bantuan Kemanusiaan Dunia ke Gaza’ di sini hari ini.
Katanya, seluruh dunia perlu bersatu dan sepakat untuk melakukan sekatan terhadap Israel dan bukannya hanya mengecam tindakan jenayah mereka sahaja.
Dr. Mahathir berkata, sama ada tindakan (boikot) ini berjaya atau sebaliknya, namun jika ia berjaya dilakukan pada skala global dan tidak mustahil syarikat berkenaan akan bankrap.
Media sebelum ini melaporkan, pemimpin Islam dan Arab mengutuk tindakan tidak bertamadun Israel di Gaza tetapi tidak akan memutuskan sebarang langkah mengenakan apa-apa tindakan ekonomi atau politik, susulan serangan ke atas Hamas.
Sidang Kemuncak Tergempar OIC di Riyadh itu sekali gus menonjolkan perpecahan dalam kalangan pemimpin wilayah Arab dalam menangani krisis yang mungkin akan membabitkan negara lain.
Pada masa sama, pemimpin OIC menuntut Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menerima resolusi yang tegas dan mengikat, untuk menghentikan pencerobohan Israel.
Dalam perkembangan sama, Dr. Mahathir turut mengecam tindakan Amerika Syarikat yang mengggunakan kuasa veto untuk menyekat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menghantar pasukan pengaman.
“Pasukan pengaman bertujuan untuk mengurangkan pembunuhan tetapi di Gaza, AS tidak hantar sebab menggunakan kuasa veto di dalam PBB,” katanya.
Sementara itu, Presiden Presiden Muslim Care Malaysia Society, Zulkifli Wahijan berkata, pihaknya mahu lintasan sempadan Rafah, Mesir dibuka sepenuhnya bagi memudahkan akses bantuan kemanusiaan seperti makanan, minuman dan pasukan perubatan dihantar ke Gaza. – UTUSAN