PROSES mendidik anak-anak bermula ketika mereka berada dalam kandungan ibu demi melahirkan generasi unggul dalam rohani dan jasmani. Ini kerana otak dan pancaindera mereka sudah mula berkembang ketika dalam rahim ibu lagi selain mereka merasai apa yang berlaku di luar.
Demikian peri penting bagi setiap ibu bapa untuk mempersiapkan amalan yang bersesuaian dengan landas Islam demi hubungan antara dunia dalam rahim anak dan dunia luar itu.
Itu nasihat pengasas Pondok Permatang Kaka, Megat Dewa Kodiang, Mohamad Nasir Abd. Ghani yang melahirkan kebimbangan dengan keadaan generasi hari ini kerana banyak yang menjalani kehidupan jauh menyimpang daripada landasan Islam dan tidak kurang juga yang tidak takut melakukan maksiat serta dosa.
“Manusia hari ini kelam mata kerana banyak yang menjadikan duniawi ini sepenuhnya tuntutan kehidupan tanpa memikirkan duniawi ini hanya tempat persinggahan. Tempat kita beribadat dan membuat persediaan untuk kembali ke alam abadi nanti.
“Kenapa? Mungkin kerana pegangan agama tidak kuat dan didikan agama tidak kuat. Roh Islam tidak kuat. Saya selalu beranggapan bahawa pembentukan diri anak-anak ini adalah ketika dia dalam kandungan ibunya lagi,” katanya ketika ditemui di pondok itu baru-baru ini.
Tambah beliau, antara amalan baik untuk melahirkan insan soleh dan solehah adalah beramal ibadah seperti memperbanyakkan doa, zikir, baca al-Quran termasuk berdialog seawal pembentukan janin dalam rahim ibunya.
“Selain menunaikan amal ibadat yang wajib perlu perbanyakkan amalan ini. Banyakkan lakukan perkara sunnah dan al-Quran itu jangan tinggal selalulah perdengarkan,” nasihat beliau.
Selain itu, beliau turut menjelaskan pemberian nama untuk anak-anak juga penting dalam mencorak kehidupan mereka pada masa hadapan.
“Tentu sahaja dalam Islam apabila anak dilahirkan maka ibu bapa perlu menamakan anaknya dengan nama baik-baik atau mempunyai maksud yang baik kerana kita mahu anak-anak ini membesar dengan baik sebagai seorang Islam sejati. Ini kerana nama-nama yang baik ini juga satu doa untuk anak-anak anda.
“Bayangkan kalau anda letak nama Ronaldo kerana anda menggemari beliau dan orang memanggilnya Ronaldo! Ronaldo! Ia tidak memberikan sebarang maksud pun, tiada doa pun untuknya,” jelasnya.
Tok guru berusia 52 tahun ini juga menekankan bahawa institusi kekeluargaan menjadi asas penting dalam mendidik kanak-kanak sebelum mereka memasuki alam persekolahan.
“Ibu bapa adalah asas pembentukan kanak-kanak, guru yang pertama. Kalau ibu bapa ini gagal dan mengabaikan anak-anak maka hilanglah panduan hidup mereka. Kena didik mereka ikut cara Islam dengan memberikan contoh yang baik. Seperti bila sudah capai usia tujuh tahun bagi anak lelaki kena ajar dia solat,” katanya.
Mohamad Nasir turut menyentuh soal pemilihan pasangan untuk mendirikan rumah tangga yang disifatkannya menjadi penentu kepada keharmonian perkahwinan masing-masing.
“Bagi yang ingin mendirikan rumah tangga kena tengok semula kepada cara-cara yang dituntut Islam. Jangan tangkap muat sahaja. Orang sekarang memilih semata-mata kerana cinta. Jatuh cinta terus berkahwin.
“Tetapi dalam Islam walaupun kita sudah berkenan seseorang itu masih perlu lihat ciri-cirinya, tengok agama dia macam mana, itu paling penting. Penting juga untuk melakukan solat Istikharah baik bagi lelaki atau perempuan ketika kita keliru dalam membuat keputusan.
“Perkara seperti ini nampak kecil tetapi kesannya sangat besar demi keberkatan sesuatu perkahwinan itu. Kita tengok keadaan hari ini, begitu rapuhnya institusi perkahwinan dan perceraian berlaku hampir setiap hari. Ini kerana tidak menjiwai tujuan perkahwinan itu,” katanya.
Nama yang elok satu doa untuk anak
- Oleh JAMLIAH ABDULLAH
- 19 November 2023, 6:12 pm
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
BERITA BERKAITAN
Ikut Machiavelli, ‘harimau dari perut’ atau taktikal
15 Disember 2024, 10:10 am
Jangan pinggirkan pendidikan inklusif
8 Disember 2024, 10:03 am
Melindungi pemberi maklumat rasuah
1 Disember 2024, 9:03 am