KUALA LUMPUR: Polis mengesahkan bekas pegawai polis, Sirul Azhar Umar yang sebelum ini disabitkan kesalahan membunuh wanita Mongolia, Altatuya Shaaribu, pada tahun 2006 masih di bawah notis merah Polis Antarabangsa (Interpol).
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, meskipun Sirul dalam satu kenyataan terbaharu kepada Al-Jazeera menyatakan ingin terus menetap di Australia, namun, notis merah terhadapnya masih diteruskan.
“Pihak polis pada masa ini masih meneliti dan mencari penyelesaian untuk membawa pulang Sirul kembali ke negara ini.
“Kami masih mengkaji kaedah untuk membawa pulang Sirul dan kini ia di peringkat Jabatan Peguam Negara (AGC). Nama beliau (Sirul) masih disenaraikan di bawah notis merah Interpol,” katanya dalam sidang akhbar di Bukit Aman, di sini, hari ini.
Terdahulu, Sirul dalam temubual bersama Al-Jazeera yang disiarkan hari ini menyatakan dia mahu meneruskan kehidupan di Australia kerana beranggapan dirinya tidak selamat jika kembali ke tanah air.
Bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK) itu juga turut memohon maaf kepada keluarga Altantuya Shaaribu.-UTUSAN