Nama Ahli Parlimen ponteng sidang Parlimen mungkin dipapar di laman web - Utusan Malaysia

Nama Ahli Parlimen ponteng sidang Parlimen mungkin dipapar di laman web

JOHARI Abdul (tengah) menyampaikan cenderamata kepada pemimpin pengakap dari negara Asean yang menghadiri The 18th Asean Scout Association for Regional Cooperation (ASARC) Meeting di George Town, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Nama Ahli-Ahli Parlimen yang didapati ‘ponteng’ dengan sengaja sidang Parlimen mungkin akan dipaparkan di laman web Dewan Rakyat dalam tempoh terdekat.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berkata, perkara itu merupakan antara penambahbaikan yang akan dilaksanakan bagi meningkatkan kehadiran Ahli Parlimen dalam sidang Dewan Rakyat kerana mereka mempunyai tugas dan tanggungjawab terhadap pengundi dan kawasan Parlimen yang diwakili.

”Kita akan pantau Ahli Parlimen yang selalu menghilangkan diri, walaupun saya tidak ada kuasa untuk mengambil tindakan terhadap mereka, tetapi usaha-usaha sedang dijalankan terhadap mereka yang tidak hadir.

“Kita akan naikkan nama mereka (yang tidak hadir sidang Dewan Rakyat) di dalam laman web, ia akan berikan peluang kepada masyarakat yang memilih mereka bertanya ke mana Ahli Parlimen berkenaan menghilangkan diri,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, Johari merasmikan The 18th Asean Scout Association for Regional Cooperation (ASARC) Meeting yang turut dihadiri pemimpin-pemimpin pengakap dari negara-negara Asean.

Pada 29 Ogos lepas, Johari dilaporkan mencetuskan idea untuk memotong elaun Ahli Parlimen jika tidak hadir ke sesi sidang Parlimen sebagai satu langkah mencegah ketidakhadiran dalam kalangan mereka.

Menurut Johari, cadangan itu akan disuarakan beliau kepada jawatankuasa Parlimen yang turut dianggotai oleh Ahli-Ahli Parlimen yang terdiri daripada pihak pembangkang dan kerajaan.

“Saya akan bincang, kita ada jawatankuasa, saya tidak boleh terus berikan arahan, dalam jawatankuasa itu ada pembangkang dan kerajaan jadi kita akan bincangkan dan selepas itu akan putuskan bila akan mula.

“Seeloknya kita mulakan (paparkan nama di laman web) secepat mungkin, mungkin pada persidangan yang akan datang, ini antara penambahbaikkan yang kita akan buat,” katanya.

Dalam pada itu, Johari berkata, beliau faham tugas Ahli Parlimen terlalu banyak dan ada antara mereka yang tidak dapat menghadiri sidang Dewan Rakyat kerana terpaksa menghadiri mesyuarat selain perlu melaksanakan tugas di luar negara.

“Saya nasihati Ahli Parlimen sekiranya mereka tidak dapat hadir elok maklumkan mempunyai tugas di luar kepada Yang Dipertua untuk dimaklumkan kepada Sekretariat Setiausaha Dewan.

”Sekurang-kurangnya kita tidak akan menganggap mereka ponteng sidang Dewan Rakyat,” katanya.

Sementara itu, katanya, beliau menyifatkan gejala ponteng sidang Dewan Rakyat dalam kalangan Ahli Parlimen adalah tidak serius kerana mereka masih menghadiri persidangan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya