PASIR SALAK: Sebuah rumah lama yang usang dan dipenuhi semak mencacatkan pemandangan kepada pengunjung yang melawat Kompleks Sejarah Pasir Salak di sini.
Apatah lagi ia terletak di laluan masuk yang pasti dapat dilihat sesiapa sahaja yang berkunjung ke kompleks itu.
Penduduk di sekitar kawasan kompleks itu mengakui keadaan rumah lama yang semakin reput memberikan pemandangan dan imej tidak elok untuk kompleks sejarah itu.
Penduduk mahu rumah tersebut dirobohkan namun tidak tahu siapa pemiliknya.
Ketua Kampung Pasir Salak, Nor Azri Sokor berkata, difahamkan rumah itu satu-satunya rumah yang tidak dipindahkan semasa pembinaan kompleks tersebut.
Namun katanya, ia tidak dijaga dan tidak diketahui pemilik, menyebabkan keadaannya semakin usang.
“Melihat keadaan rumah lama ini yang semakin usang, mungkin lebih elok ia dirobohkan kerana memberikan pemandangan yang tidak elok kepada pengunjung kompleks sejarah ini.
“Rumah yang semakin usang ini juga mungkin membahayakan pengguna jalan di sini,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Seorang penduduk yang enggan dikenali berkata, keadaan rumah itu kini sudah rosak dan dinding papan sudah reput dan tidak boleh digunakan lagi.
Katanya, ini ditambah dengan keadaan semak samun yang mencemarkan pemandangan kepada orang luar yang melawat kompleks itu.
“Saya sendiri nyaris kemalangan sebab tidak nampak apabila bertembung dengan kenderaan yang hendak masuk. Juga bahaya apabila berlaku ribut, cemin tingkap atau atap yang rosak di rumah itu mungkin diterbangkan angin.
“Kompleks ini merupakan kawasan tumpuan pelancong, jadi tidak elok jika ada rumah yang usang di kompleks ini,” katanya. – UTUSAN