Najib tidak beri kerjasama semasa disoal siasat 

Najib tidak beri kerjasama semasa disoal siasat 

NAJIB Tun Razak hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berhubung dakwaan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram melibatkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB). - UTUSAN/SYAKIR RADIN  
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari diberitahu bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak memberikan kerjasama semasa disoal siasat pihak polis berhubung lima transaksi cek berjumlah RM22.6 juta berkait dengan penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).  

Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA), Asisten Komisioner Foo Wei Min berkata, Najib ketika disoal hanya memberitahu akan menjawab persoalan tersebut di mahkamah. 

Tambahnya, soal siasat itu dijalankan pada 3 Oktober 2018.

Wei Min yang merupakan saksi pendakwaan ke-48 berkata demikian ketika disoal balas oleh peguam bela Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah pada sesi pemeriksaan balas hari ini.

Lima cek tersebut melibatkan transaksi iaitu cek bernilai RM20 juta yang ditunaikan ke akaun UMNO pada 2 Ogos; cek RM100,000 yang masuk ke akaun UMNO Batu Kawan pada 7 Ogos; cek RM246,000 yang masuk ke akaun ahli perniagaan, Lim Soon Peng pada 7 Ogos; cek RM2 juta masuk ke syarikat Orb Solutions Sdn. Bhd. pada 12 Ogos dan cek RM303,000 yang ditunaikan ke syarikat Semarak Konsortium Satu Sdn. Bhd. pada 14 Ogos; kesemuanya berlaku pada 2013.

Pada satu ketika pada sesi soal balas itu, Muhammad Shafee dilihat berang apabila pegawai polis itu mengulangi jawapannya bahawa Najib enggan memberikan penjelasan mengenai transaksi lima cek berkenaan.

Ini kerana, ujar Muhammad Shafee, soal siasat tersebut dilakukan selepas anak guamnya didakwa, oleh itu anak guamnya sudah tentu boleh memberi penjelasan mengenai lima cek tersebut. 

Bagaimanapun, saksi pendakwaan itu tetap dengan keterangannya bahawa Najib berulang kali menyatakan akan menjawab persoalan mengenai cek-cek berkenaan di mahkamah.

Terdahulu, Wei Min bersetuju dengan Muhammad Shafee bahawa soal siasat terhadap Najib berlaku selepas beliau (Najib) didakwa di Mahkamah Tinggi di sini pada 20 September 2018.

Najib, 70, kini dibicarakan atas empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Perbicaraan dijalankan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya