PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu mutu penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar di sekolah ditingkatkan selain kedudukan bahasa Melayu terus dipertahankan.
Pada masa sama, Perdana Menteri berkata, bahasa Melayu akan terus kekal menjadi bahasa utama dan mesti dikuasai tanpa tolak ansur oleh semua pelajar.
“Sekarang ini kita bicara soal mutu pendidikan, namun bahasa Melayu kekal menjadi bahasa utama dan kita juga harus cuba memikirkan kaedah-kaedah baharu bagi meningkatkan mutu penguasaan bahasa Inggeris.
“Jadi jangan ada yang pertikai lagi seolah-olah kita memberi keutamaan kepada bahasa Inggeris dan kita meninggalkan bahasa Melau. Itu tidak berlaku,” katanya ketika menyampaikan amanat sempena majlis kesyukuran sempena setahun pentadbiran Kerajaan Madani, di sini hari ini.
Katanya, jika Malaysia mahu diangkat lebih maju dari segi ekonomi, maka bahasa Melayu mesti menjadi bahasa ilmu, bahasa utama dan dikuasai dengan baik oleh semua rakyat Malaysia termasuk di sekolah swasta dan antarabangsa.
Beliau menegaskan bahawa setiap anak kelahiran Malaysia itu wajib menguasai bahasa Melayu dengan baik.
“Di samping itu, semua anak kita terutama di sekolah kebangsaan, mesti ditekankan penambahan supaya penguasaan bahasa Inggeris jauh lebih baik daripada sekarang.
“Ini kerana semua negara maju mula memberi penekanan kepada sekurang-kurangnya kepada penguasaaan dwi bahasa. Justeru, jangan kita pandang ringan hal ini,” katanya.
Jelasnya lagi, beliau juga mahu sektor pendidikan negara terutama Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) menitikberatkan soal latihan memandangkan negara kini menjadi tumpuan syarikat pelaburan mikrocip terkemuka dari Jerman.
“Maknanya kita harus latih anak-anak kita yang lulusan TVET dan jurutera dan lain lain dalam bidang matematik, sains, teknologi dan digital supaya dapat memenuhi keperluan syarikat itu.
“Kalau ia tidak diambil berat maka, syarikat itu akan mengambil kepakaran daripada negara asing. Jadi jangan kita pandang ringan hal ini,” katanya.
Sebelum ini, firma penyedia penyelesaian semikonduktor dari Jerman, Infineon Technologies AG bersetujunmeningkatkan pelaburan bagi kemudahannya di Kulim, Kedah sebanyak RM25 bilion. – UTUSAN