Murid tahun enam maut kemalangan - Utusan Malaysia

Murid tahun enam maut kemalangan

HARRAZ MIFZAL MUSLIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Seorang murid tahun enam maut selepas motosikal dibonceng bersama ibunya bergesel dengan sebuah lori di Jalan Lubuk Binjai dekat Kampung Undang di sini, pada pukul 1.30 petang tadi.

Dalam kejadian itu, mangsa, Harraz Mifzal Muslim, 12, yang baru pulang dari Sekolah Kebangsaan (SK) Undang dan dijemput ibunya disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.

Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Superintenden Wan Mohd. Zaki Wan Ismail, siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika sebuah lori dalam perjalanan ke arah Kampung Undang, di sini.

Beliau berkata, setibanya di tempat kejadian, lori berkenaan cuba mengelak sebuah kereta yang berhenti untuk masuk ke simpang kanan dengan membelok ke sebelah kiri jalan.

“Lori terbabit yang dipandu lelaki berusia 31 tahun bagaimanapun bergesel dengan motosikal jenis Honda Beat yang ditunggang dua beranak itu lalu menyebabkan mereka terjatuh.

“Harraz Mifzal kemudian disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan manakala ibunya mengalami kecederaan di bahagian kaki,” katanya ketika dihubungi di sini, malam ini.

Tambah Wan Mohd. Zaki, pemandu lori berkenaan pula terselamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan sebelum lelaki itu membuat laporan polis selepas kejadian.

Katanya, mayat kanak-kanak malang tersebut telah dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini, untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN