SUDAH tak ada kualiti, mengarut dan membosankan. Mungkin itu yang dapat disimpulkan mengenai program Gegar Vaganza (GV) kini yang Cik Bunga tengok, pandangan ini turut dipersetujui oleh golongan netizen dan penonton.
Bukan tujuan Cik Bunga untuk menghentam produksi rancangan tersebut, tetapi come on lah, realitinya memang sudah terlalu hambar dan tampak bosan seolah-olah sudah kekeringan idea kreatif.
Selain peserta, tumpuan penonton juga terarah kepada pengacara. Terus terang, Cik Bunga perhatikan, ramai sudah bosan dengan gaya pengacaraan Nabil dan Jihan.
Tepu, mengulang-ulang jenaka sesama sendiri yang sama, kutuk mengutuk, balik-balik itu sajalah modalnya.
Maklum sajalah, sudah 10 tahun bermain di pentas yang sama, agaknya pada kiran mereka sebagai hos ‘alah kacang saja, buat lawak kutuk-kutuk orang sikit, habiskan kerja, jam 12 kita balik.
Janji gaji masuk’ 10 tahun pengalaman di pentas GV ada pro n cons untuk Jihan dan Nabil. Ya, ia sepatutnya jadi kelebihan mereka, tetapi apabila dalam diri tak ada rasa hendak tingkatkan mutu pengacaraan, ubah gaya dengan kreatif, ada idea lebih spontan dan ‘fresh’, begitulah jadinya.
Cik Bunga bukan tak suka Nabil dan Jihan jadi hos. Apa lagi memang itu adalah satu daripada mata pencarian mereka dalam bidang ini. Cuma, kena ubah bagi lebih ‘hidup’ lagi.
Jadi, di sini, Cik Bunga teringat apa yang Kak Lina Pom Pom pernah luahkan di Instagram sewaktu dia buat keputusan meninggalkan pentas tersebut.
Kak Lina ada menyindir dan menyebut ‘tidaklah lucu stereotype,dulu kini dan selamanya’.
Mungkinlah Kak Lina tak sebut dia tuju pada siapa. Tapi kalau diambil apa yang dikatakan Kak Lina itu, barangkali ada benarnya.
Terlalu meninggi diri kalau tidak sesekali ditegur dan dinasihatkan, itulah yang membuatkan sikap ‘perasan bagus dalam diri’ semakin meracuni.
Cik Bunga harap Jihan dan Nabil tidak begitu. Ambillah pendekatan untuk ubah, jika mahu diterima ramai lagi.