PUTRAJAYA: Angkatan Muda Keadilan (AMK) menyifatkan Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam situasi kebuntuan dan sengaja membangkitkan sesuatu isu bagi menyedapkan hatinya.
Ketua sayap belia Parti Keadilan Rakyat (PKR) tersebut, Adam Adli Abdul Halim malahan menempelak Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu cuba mengalihkan isu.
“Sebenarnya saya rasa dia yang buntu, maka sebab itulah dia awal-awal umum tidak lagi mahu pertahan jawatan dipegangnya sendiri,” katanya pada sidang akhbar selepas majlis perasmian Kongres Wanita Keadilan dan AMK di sini hari ini.
Semalam, ketika berucap pada Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu, Muhyiddin berkata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim buntu dengan situasi lesu ekonomi Malaysia, malah gagal dalam perancangan memulihkan balik kos sara hidup dan kenaikan harga barang sehingga memberi kesan buruk kepada rakyat.
Adam Adli mahu rakyat menilai sendiri pelbagai usaha dilakukan kerajaan pimpinan Anwar yang sudah membuat banyak inisiatif dengan meletakkan tema kebajikan rakyat sebagai fokus.
Ditanya mengenai sokongan empat Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) kepada kerajaan, beliau berkata, Kerajaan Perpaduan lebih bersifat terbuka kerana tawaran pada asalnya untuk semua Ahli Parlimen tanpa mengira mereka mewakili daripada blok mana.
“Kita tidak selindung dan mereka boleh bila-bila masa jumpa Timbalan Perdana Menteri II, Datuk Seri Fadillah Yusof untuk berbincang terutama isu peruntukan kawasan,” jelasnya.
Pada masa sama tegas beliau, setiap Ahli Parlimen termasuk dari blok kerajaan sendiri bebas menyuarakan isu suara rakyat dalam dewan tanpa terikat kepada pendirian parti mereka. – UTUSAN