Muhammad Ketua Polis Perlis baharu - Utusan Malaysia

Muhammad Ketua Polis Perlis baharu

MUHAMMAD Abdul Halim (kanan) menerima tongkat kuasa Ketua Polis Negeri sewaktu Majlis Terima Tugas yang berlangsung di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis, hari ini. -UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Timbalan Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Datuk Muhammad Abdul Halim, 53, dilantik sebagai Ketua Polis negeri baharu berkuat kuasa hari ini.

Pelantikan itu adalah bagi menggantikan bekas Ketua Polis negeri, Datuk Surina Saad yang bersara wajib pada 25 September lalu.

Terdahulu, jawatan tersebut dipangku oleh Timbalan Ketua Polis Perlis, Senior Asisten Komisioner Baderulhisham Baharudin.

Majis penyerahan serah terima tu­gas itu berlangsung di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) di sini dengan disaksikan oleh Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Datuk Seri Hazani Ghazali.

Dalam pada itu, Hazani berkata, pihaknya berkeyakinan Muhammad dapat menggunakan pengalamannya untuk dimanfaatkan buat kontinjen Perlis bagi memacu kecemerlangan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Katanya, anggota dan pegawai polis di Perlis diharap dapat memberi kerjasama kepada Muhammad bagi memastikan PDRM dapat mencapai misi serta visi yang dikehendaki.

“Pelantikan Muhammad ibarat seperti sireh pulang ke gangang memandangkan beliau juga adalah anak jati Perlis dan saya yakin pihaknya dapat menjalankan amanah diberikan ini dengan baik,” katanya.

Sementara itu, Muhammad berkata, pihaknya amat berbesar hati dengan pelantikan itu dan akan menjalankan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan dengan sebaiknya.

Menurut Muhammad, pengalamannya sewaktu berkhidmat di beberapa jabatan sebelum ini akan dimanfaatkan dengan sebaiknya bagi mengekang jenayah dan menjadikan Perlis sebagai sebuah negeri yang aman serta selamat.

“Tugas menjaga keselamatan negara bukan mudah lebih-lebih lagi Perlis terletak bersempadan dengan Thailand dan amanah yang diberikan ini tidak boleh dipandang ringan.

“Kita harus mempersiapkan diri untuk menjalankan tugas mengikut lunas dan peraturan ditetapkan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya