KOTA KINABALU: Pembukaan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Ranau bermula Mac tahun depan akan membantu usaha melahirkan lebih ramai tenaga mahir dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Wira Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, Malaysia masih memerlukan sejumlah besar tenaga mahir bagi memenuhi pasaran pekerjaan berasaskan petroleum di negara ini.
Maka, melalui MRSM Ranau yang dibina sepenuhnya oleh Petronas itu, beliau percaya kerjasama berterusan bersama Petronas dan kerajaan negeri Sabah akan dapat merealisasikan hasrat tersebut.
Beliau berkata, pembukaan MRSM yang kelima di Sabah itu akan membuka ruang kepada pelajar di luar bandar mendapat didikan dengan ilmu STEM.
Katanya, MRSM Ranau adalah MRSM ke-57 di negara ini dan ia mampu menempatkan 450 orang pelajar dalam satu-satu masa. Namun, bagi pengambilan pertama pada Mac tahun depan, seramai 180 pelajar akan ditempatkan di MRSM tersebut.
Pembinaan MRSM Ranau oleh pihak Petronas ini dilengkapi dengan prasarana pembelajaran canggih seiring dengan perkembangan teknologi terkini.
“Malah, kerajaan juga turut menyalurkan peruntukan RM10 juta kepada Mara bagi perolehan kelengkapan dan peralatan,” katanya semasa majlis penyerahan MRSM Ranau, hari ini.
Asyraf berkata, Sabah adalah pusat pengeluaran bahan api dan cecair gas asli terbesar di Malaysia. Dengan kebanyakan pusat pengeluaran dikendalikan oleh Petronas, pastinya ia menjadi nilai tambah yang mampu menarik minat pelajar untuk menerokai bidang Stem dan seterusnya menjadi pelapis masa hadapan dalam bidang ini.
Mengenai cadangan Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi Manjun untuk menjenamakan MRSM Ranau sebagai MRSM Kinabalu Ranau, Asyraf berkata, cadangan itu akan dibawa ke peringkat Mara dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah kerana pertukaran nama itu perlu melalui proses tertentu.
“Sudah tentu pandangan Masidi itu satu pandangan yang baik kerana mengambil kira sentimen dan sejarah yang bertapak dalam kalangan kaum Kadazandusun.
“Apa yang pasti MRSM itu kita bina di sana dengan mengambil kira aspirasi berkenaan untuk membantu anak-anak bumiputera dalam kalangan masyarakat tempatan di Ranau dan sekitarnya agar mereka dapat masuk ke MRSM yang telah terbukti membantu membangunkan modal insan dalam aspek Stem,” katanya.
Terdahulu Masidi mencadangkan agar MRSM Ranau itu ditukar nama kepada MRSM Kinabalu Ranau sebagai penghormatan kepada masyarakat Kadazandusun yang tinggal di sekitar Gunung Kinabalu.
Ia sebagai tanda memperingati ciptaan Tuhan iaitu Gunung Kinabalu yang merupakan lambang kepada aspirasi rakyat. MRSM Ranau dibina di tapak yang tercantik dan tertinggi di Malaysia kerana berada pada kedudukan 721 meter dari paras laut.
Hadir sama dalam majlis itu adalah Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Safar Untong, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Kamadjaja Aziz, Naib Presiden Kanan, Pelaksanaan Projek dan Teknologi Petronas, Datuk Bacho Pilong, Timbalan Ketua Pengarah (Pendidikan) Mara, Razlan Samsuri. –UTUSAN