SHAH ALAM: Malaysia dan Brunei teruskan kerjasama dalam misi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Lubnan (UNIFIL) menerusi penghantaran pasukan Malaysian Battalion 850 Siri 11 (MALBATT 850-11) selama 12 bulan bermula hari ini.
Seramai 854 kekuatan pasukan menyertai misi tersebut melibatkan 82 pegawai dan 772 anggota lain-lain pangkat dari negara ini dan tiga pegawai serta 27 anggota dari Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) selain seorang Pegawai Awam Kewangan Kementerian Pertahanan.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pasukan itu diaturgerakkan ke Lubnan secara berperingkat menggantikan MALBATT 850-10 yang akan menamatkan operasi selama 12 bulan di sana.
Menurutnya, kesemua pasukan tersebut akan dihantar dalam empat peringkat ke Lubnan sehingga 17 November ini.
“Saya amat yakin persediaan yang dilaksanakan menerusi latihan integrasi tiga perkhidmatan selama dua bulan di bawah seliaan Markas Angkatan Bersama di Malbatt Village, Port Dickson pada Jun dan Julai lalu, meningkatkan tahap fizikal dan mental menjadi anggota infantri kompeten untuk melaksanakan misi pengaman.
“Latihan integrasi itu penting memandangkan operasi pengaman UNIFIL dilaksanakan di Lubnan yang mempunyai perbezaan politik, ekonomi, ancaman keselamatan, bentuk muka bumi, iklim dan juga budaya.
“Saya juga berharap setiap pegawai dan anggota dapat mengekalkan sikap profesional bagi menjaga nama baik kontinjen MALBATT 850-11,” katanya ketika berucap pada Majlis Pemakaian Beret PBB, Penyerahan Bendera Malaysia dan Penghantaran Kumpulan Pertama MALBATT 850-11, hari ini.
Jelasnya, penglibatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di peringkat antarabangsa membuktikan Malaysia komited dalam melaksanakan tanggungjawab tugas pengaman dan memberi bantuan kemanusiaan demi memastikan aspirasi keamanan sejagat dapat direalisasikan.
Dalam ucapan sama, beliau turut mengulas konflik Israel – Palestin dan meminta pasukan keselamatan negara yang berada di sana untuk kekal bersikap berkecuali dan mematuhi peraturan dan prosedur daripada UNIFIL.
Saya khuatir sekiranya konflik itu merebak sehingga melibatkan pelbagai negara di rantau tersebut, keadaan keselamatan di Lubnan juga akan terkesan. Ini akan menyukarkan pihak UNIFIL dan MALBATT menjalankan tugas. Namun, alhamdulillah, kontinjen MALBATT 850-10 masih berada dalam keadaan baik dan selamat.
“Saya berharap saudara-saudari dalam kontinjen MALBATT 850-11 agar sentiasa berwaspada dan bersiap sedia bagi menghadapi sebarang kemungkinan apabila menggantikan malbatt 850-10,” ujarnya. – UTUSAN