SEPANG: Setelah penghantaran pertama misi bantuan ke Gaza berjaya dilaksanakan pada 3 November lalu, Ops Ihsan bakal melakukan penghantaran kali kedua pada malam ini.
Menurut jurucakap sekretariatnya, Amir Arafat Razali, pelepasan berlangsung di lokasi serupa di terminal kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini. dengan kerja pemunggahan bermula pukul 10 malam ini sebelum kapal terbang kargo jenis Boeing 737 dengan plat 9M-WCA itu berlepas sejam kemudian.
“Kita menggunakan sebuah pesawat syarikat World Cargo Airlines Sdn. Bhd. yang sama disewa khas oleh pihak kerajaan Malaysia pada minggu lalu,” katanya ketika dihubungi.
Sebelum ini, penghantaran pertama melibatkan hanya 20 tan daripada keseluruhan 50 tan yang berjaya dikumpulkan 44 badan bukan kerajaan (NGO) tempatan di bawah misi itu dnegan kesemua barang tersebut bernilai hampir RM7 juta.
“Seperti juga penghantaran pertama, pesawat ini akan terbang ke El-Arish di Mesir dengan transit di Chennai, India dan Sharjah, Emiriah Arab Bersatu (UAE),” jelas Amir Arafat.
Kapal terbang itu akan menempuh perjalanan sejauh 7,688 kilometer yang mengambil masa kira-kira 15 jam sebelum mendarat di destinasi akhir di Mesir pada keesokan harinya sebelum diserah kepada pihak Persatuan Bulan Sabit Merah Mesir sebagai rakan kerjasama menyelia penghantaran melalui sempadan darat ke Gaza.
Lapangan terbang antarabangsa di wilayah Sinai Utara itu menjadi terminal udara utama kemasukan bantuan dari seluruh dunia kerana jaraknya hanya 45 kilometer dari Rafah.
Setakat ini, agensi kemanusian itu menguruskan hampir 10,000 tan bantuan daripada 19 negara termasuklah Malaysia yang dihantar masuk ke Gaza dengan lebih 500 buah trak.
Sekretariat Ops Ihsan yang dikendalikan Global Peace Mission dan puluhan NGO negara ini denngan mendapat sokongan daripada Kementerian Luar yang turut melancarkan Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin pada 18 Oktober lalu dengan kutipan melebihi RM100 juta. – UTUSAN