Miniatur Pak Teh gamit nostalgia di desa

Miniatur Pak Teh gamit nostalgia di desa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sekitar awal tahun 2002, seorang murid tahun lima tekun mengikuti mata pelajaran Kajian Tempatan dalam kelasnya. Salah satu kerja kursus yang diarahkan guru membuat binaan rumah menggunakan kotak dan kad manila.

Tugasan itu sangat menarik minatnya walaupun menuntut lebih banyak masa dan mendorongnya lebih banyak berfikir.

“Saya masih di sekolah rendah ketika itu dan apabila mendapat tugasan membina replika rumah daripada kotak saya gembira dan tidak sabar-sabar untuk menyiapkan. Lebih seronok lagi apabila cikgu bagi kebebasan menghias dan menambah bahan-bahan lain sebab di mata saya hasilnya sangat memuaskan.

“Sejak hari itu, saya tertarik dengan binaan rumah replika dan selalu membina pelbagai bentuk untuk hobi dan memenuhi masa lapang dan minat itu berlanjutan sehingga dewasa. Kemudiannya saya mula akses pelbagai informasi daripada media sosial dan bergabung dengan rakan-rakan yang mempunyai hobi yang sama,” kata Mohamad Sahrul Naim Arbain,32.

Beliau yang mesra disapa Pak Teh kelihatan teruja apabila berbicara mengenai koleksi replika binaan rumah buatan tangannya yang sangat berseni.

Replika yang dihasilkan seolah-olah binaan sebenar yang ‘diwujudkan’ dalam suasana kampung yang aman damai.

Bayangkan sebuah rumah kampung berdinding kayu, beratap zink lusuh akibat dipanah panas matahari dan tangga di hadapan pintu depan menghadap sebuah kolam.

Beberapa ekor itik berenang di dalam kolam itu menghidupkan lagi replika dihasilkannya.

Di tepi rumah pula kelihatan ampaian penuh kain baju tersidai dan alat tradisi menangkap ikan dikenali sebagai tangkul angkat yang diperbuat daripada buluh.

Lebih menarik perhatian replika tersebut dilengkapi sebatang pokok kelapa condong dan rimbunan pohon menghijau.

Apabila di dalam bentuk gambar, ia hanya seperti sekeping lukisan tetapi sebenarnya replika atau hasil karya miniatur anak tempatan ini bersaiz mini dan sangat halus hasil kerja tangannya, teliti dan unik.

Bukan setakat sebuah rumah kampung tetapi Mohamad Sahrul turut menghasilkan lebih 50 replika terdiri daripada puluhan buah rumah dilengkapi kenderaan, jalan bertar, pokok-pokok, sawah padi, rumah kedai dan legenda rumah kayu bercat biru Kampung Baru, Kuala Lumpur.

“Idea ini tercetus sejak saya berada di sekolah rendah lagi. Tetapi semakin dewasa, idea itu dikembangkan mengikut pengamatan, kenangan dan permintaan pelanggan,” katanya.

Imaginasi anak muda asal Sabak Bernam, Selangor ini banyak dipengaruhi oleh persekitaran kehidupannya yang dikelilingi rumah-rumah kayu dan suasana kedesaan. Ia seterusnya dizahirkan dalam bentuk miniatur atau diodrama.

Lulusan Pengajian Islam Syariah dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ini kini menetap di Kajang dan pernah bekerja sebagai pengamal undang-undang (peguam syarie) bertauliah.

Bagaimana pun kini beliau lebih fokus kepada hobi yang telah menjadi kerjaya sepenuhnya.

“Kerja bertukang memerlukan tumpuan walaupun saiznya kecil sahaja. Lebih-lebih lagi apabila saya menerima tempahan daripada pelanggan,” katanya.

BELAJAR SENDIRI

Walaupun tidak belajar secara khusus berkaitan seni bina miniatur namun berbekalkan minat, pengalaman, kemahiran dan melalui fasa try and error Mohamad Sahrul meneruskan usaha itu.

Practice make perfect. Saya sentiasa memperbaiki hasil karya saya. Apabila berkumpul dengan rakan-rakan sama hobi, kami selalu berkongsi ilmu,” katanya.

Mengenai bahan digunakan dalam karya berkenaan, Mohamad Sahrul berkata bahan-bahan asas mudah didapati kerana hanya menggunakan barang-barang terpakai seperti kotak, cardboard dan tanah serta percetakan 3D.

“Bahagian yang agak mencabar ialah bagi menyiapkan perincian produk. Ia menuntut kesabaran yang tinggi,” ujarnya.

Buat masa ini beliau menjadikan sebuah bilik di rumahnya sebagai bengkel menyudahkan karyanya.

Namun melihatkan permintaan yang menggalakkan, beliau merancang untuk menyewa premis atau mini studio bersesuaian.

“Saya sering berkongsi hasil kerja saya di media sosial. Setakat ini sambutannya amat baik. Ada yang menempah mewakili agensi kerajaan, swasta, NGO, persendirian yang mahukan rekaan suasana kampung, bangunan persendirian atau kediaman yang menggamit nostalgia,” katanya.

Mengenai tempoh diperlukan dalam menyiapkan tempahan, kata Mohamad Sahrul, ia bergantung kepada saiz, kerumitan pemilihan bahan termasuk hiasan tambahan untuk menghidupkan persekitan sesebuah replika.

“Paling cepat tiga minggu namun ada juga mengambil masa sehingga berbulan-bulan,” katanya.

Miniatur terbesar pernah dihasilkan pada tahun lepas di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), ditempah Lembaga Pertubuhan Peladang.

Beliau turut menyiapkan tempahan daripada golongan istana, selebriti dan orang awam.

“Antaranya pengarah filem Allahyarham Mamat Khalid yang menempah rumah yang dikenali sebagai Diorama Hantu Kak Limah.

“Malah saya pernah diundang menjadi pempamer pada acara anjuran Persatuan Animasi Malaysia,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN