Miliki senjata api, bapa tiga anak terlepas hukuman mati 

Miliki senjata api, bapa tiga anak terlepas hukuman mati 

MOHD. Nazarudin Khairudin dibawa keluar oleh kakitangan penjara meninggalkan Mahkamah Persekutuan Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Seorang bapa tiga anak terlepas hukuman mati setelah Mahkamah Persekutuan hari ini menggantikannya dengan hukuman penjara 14 tahun kerana memiliki senjata api dalam kejadian tembakan ketika cuba merompak seorang ahli perniagaan warganegara Singapura, 10 tahun lalu.

Panel tiga hakim diketuai oleh Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim memutuskan demikian selepas Mohd. Nazarudin Khairudin, 34, mengaku bersalah terhadap tuduhan pilihan yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan.

Beliau yang bersidang bersama-sama Datuk Zabariah Mohd. Yusof dan Datuk Harmindar Singh Dhaliwal sebulat suara turut memerintahkan perayu dikenakan enam sebatan.

Panel itu mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan pada 7 Januari 2022 yang mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 28 Jun 2018 yang mensabit dan menjatuhkan hukuman gantung terhadapnya.

Pada prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya Mohd. Amril Johari menawarkan pertuduhan pilihan iaitu memiliki senjata api di bawah Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat 1971) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan sebatan.

Perayu yang diwakili oleh peguam Azamuddin Abd. Aziz, mengaku bersalah terhadap tuduhan tersebut.

Azamuddin turut memberitahu pihak media, anak guamnya yang telah ditahan di penjara selama 10 tahun sejak tarikh tangkap pada 2013, dibebaskan hari ini.

Bagaimanapun lelaki itu masih perlu ditahan di Penjara Tapah, Perak bagi membolehkannya menjalani hukuman sebatan seperti yang diperintah oleh mahkamah.

Menurut pertuduhan asal, Mohd. Nazarudin bersama-sama rakan sejenayahnya, Azman Aini, 39, yang telah meninggal dunia didapati mengetahui bahawa lelaki itu (Azman) memiliki senjata api dan melepaskan tembakan terhadap Lee Siaw Khie Jane dengan niat menyebabkan kematian atau mencederakan wanita itu.

Perayu disabitkan melakukan perbuatan itu kira-kira pukul 3.40 petang, 22 April 2013 di Jalan Middle Kampung Sungai Buloh, Selangor.

Perayu ketika itu didakwa mengikut Seksyen 3A Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat 1971) dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati.

Keterangan kes di Mahkamah Tinggi menunjukkan, mangsa yang berada dalam kereta Mercedes-Benznya didatangi oleh dua lelaki bermotosikal sambil mengarahkannya keluar daripada kenderaan.

Azman yang menunggang motosikal mengacukan sepucuk pistol ke arah wanita itu manakala perayu selaku pembonceng turun daripada motosikal tersebut sambil cuba membuka pintu bahagian pemandu.

Mangsa bagaimanapun bertindak menekan pedal minyak dan meninggalkan kedua-duanya menyebabkan satu das tembakan dilepaskan ke arah kereta dan terkena bahagian cermin pintu bahagian pemandu.

Ahli perniagaan itu dikejar oleh motosikal tersebut sehingga tiba di balai polis.

Keterangan kes turut menyatakan, kira-kira dua bulan kemudian, polis mengesahkan Azman merupakan individu yang ditembak mati dalam satu kejadian tembakan di kawasan perkuburan di Paya Jaras.

Susulan itu, perayu ditangkap pada Ogos 2013 di rumah ibu mentuanya dan polis merampas sepucuk pistol jenis Walter P99 AS serta satu magazin berisi lima butir peluru.

Ujian balistik dan analisis terhadap pistol berkenaan menunjukkan peluru yang dijumpai dalam kereta mangsa sepadan dengan peluru yang dilepaskan semasa cubaan merompaknya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN